Berita Hari Ini

Perlis Mahu Larangan Keluar Masuk Tanpa Dokumen di Wang Kelian Ditarik Balik

KANGAR: Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man melahir kesal dengan keputusan Jabatan Imigresen menarik balik kemudahan keluar masuk di Wang Kelian berkuat kuasa hari ini tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada  kerajaan negeri.

Beliau berkata walaupun kuasa menarik kemudahan itu terletak sepenuhnya kepada Jabatan Imigresen, namun ia tidak wajar dibuat tanpa merujuk kepada kerajaan negeri.

Azlan mengulas kenyataan Jabatan Imgresen berhubung penarikan kemudahan itu  dan berkata keputusan tersebut bakal menjejaskan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.

Di bawah kemudahan itu, kelonggaran diberikan untuk memasuki sehingga satu kilometer ke Wang Prachan di sebelah Thailand dan kawasan Wang Kelian di sebelah Malaysia tanpa memerlukan dokumen atau pas sempadan, yang ia dilaksanakan pada 6Dis 1993 atas semangat setia kawan antara Perlis dan pihak Thailand

Ia bagi merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di sekitar Wang Kelian dan Wang Prachan dengan banyak kedai dibina bagi memenuhi permintaan pelancong kedua-dua negara.

Kelonggaran itu pernah ditarik balik pada 1 Feb 2008 sehingga mengakibatkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di kawasan terbabit terjejas teruk sehingga kerajaan Perlis terpaksa merayu Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya mengembali semula kelonggaran itu pada 4 Disember 2008.

Menurut Azlan, keputusan terbaharu KDN menarik balik kelonggaran itu pasti mengulangi masalah sama iaitu aktiviti ekonomi dan pelancongan Perlis dan Malaysia umumnya bakal terjejas.

Katanya alasan penarikan kelonggaran itu yang diberikan atas faktor keselamatan kurang tepat kerana maklumat polis menunjukkan tiada kejadian jenayah angkara pelancong asing di Wang Kelian

“Rekod pada Januari dan Februari tahun ini menunjukkan seramai 20,478 rakyat Thailand memasuki Malaysia melalui Wang Kelian berbanding 18,244 rakyat Malaysia mengunjungi negara itu melalui Wang Prachan,” katanya.

Menurutnya seramai 346,969 pelancong menggunakan Wang Kelian untuk keluar dan masuk tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 204,841 orang merupakan pelancong Thailand manakala pelancong Malaysia yang mengunjungi Thailand ialah 142,128 orang, kata Azlan.

Beliau berkata beliau akan menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dalam masa terdekat untuk mengemukakan rayuan mengenai perkara itu.

Pada mulanya kelonggaran diberi pada hari Sabtu dan Ahad, namun bermula 4 Disember 2008 ia dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 7 malam.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");