Membawang Hari Ini

Persembahan KD bagai di konsert

Jika bercakap mengenai penyanyi luar negara yang luar biasa, nama wanita jelita ini terus terlintas di fikiran.

Hakikatnya, dialah antara penghibur dari Indonesia yang layak digelar diva jika menilai peribadi mahupun kehebatan bakatnya.

Krisdayanti, 40, atau mesra disapa KD sememangnya tidak ada tandingan walaupun kebanjiran bakat baru yang lain.

Barangkali pengalaman membezakan mereka, namun penyanyi Cobalah Untuk Setia itu memiliki pelbagai kelebihan tersendiri sebagai penghibur.

Demikianlah yang ditunjukkan penyanyi berkenaan pada persembahan Krisdayanti Di Taman Bintang kelmarin sempena Minggu Setiausaha di Mutiara Grand Ballroom, Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya.

Di hadapan lebih 800 peminat, KD menyalurkan kasih sayangnya terhadap semua.

Yang jelas, cara dia menguasai pentas membuatkan penonton terasa seperti menonton konsert. Daripada pemilihan busana hinggalah atmosfera yang diciptanya, dia memberikan sepenuh hatinya.

Dari segi nyanyiannya, sukar menidakkan bisa vokal KD. Dalam usia mencecah 40 tahun, KD tetap bersahaja dan memukau. Dia melontarkan suaranya dengan cukup sempurna sambil diiringi band pengiring tempatan yang turut menampilkan persembahan bertenaga.

Cukup istimewa, meskipun dia sendiri mempunyai lagu hit yang sangat dekat dengan peminat, KD bagaimanapun memilih untuk menyanyikan banyak lagu tempatan demi peminat di sini.

Tidak ketinggalan, lagu popular nyanyian Dayang Nurfaizah berjudul Di Pintu Syurga turut didendangkannya membangkitkan lagi suasana di samping hadirin menjamu selera.

Paling menggamatkan suasana, sewaktu artis jemputannya, Raja Gelek Malaysia Datuk M Daud Kilau muncul di pentas bergandingan dengannya membawakan lagu Cik Mek Molek dan Laksamana Raja Di Laut.

Terdahulu, KD cuma menyatakan dia akan me­nyanyikan lagu M Daud Kilau ternyata penyanyi berkenaan membuat kemunculan istimewa.

Bagusnya KD, meskipun baru menyanyikan beberapa lagu, dia tidak menunggu lama untuk turun ke khalayak penonton menyapa mereka serta beramah-mesra.

Mulanya masing-masing bersikap protokol pada majlis dihoskan Kak Dee itu, peminat terus menyerbu KD untuk mengambil gambar bersama.

Bagi seorang yang cukup berpengalaman dan sudah di legasi tersendiri, KD bagaimanapun jelas masih merendah diri serta tidak henti bersyukur dengan sokongan peminatnya.

Berkali-kali dia mengatakan peminatnya adalah tunjang dan dia berterima kasih masih diberikan ruang sehingga saat ini untuk menghibur.

Daripada lagu popularnya seperti Ku Tak Sanggup, Menghitung Hari, Mencintaimu, Mahadaya Cinta, Bertubi-Tubi, Rembulan, Pilihlah Aku, Cobalah Untuk Setia dan Jika Kau Tak Datang, dia tidak ketepikan lagu berentak etnik, Joget Kelantan serta Cindai.

Begitu juga beberapa lagu lama dilunaskannya dengan cara tersendiri, namun memukau termasuk lagu Jangan Ditanya dan Berhembus Angin Malam.

Sewaktu menyanyikan lagu dangdut popular berjudul Penasaran pula, dia sempat membawa beberapa peminatnya berdansa bersama di pentas.

Cukup ‘sporting’ dan mahu menjadikan acara itu lebih indah, dia serta peminatnya menggamatkan lagi suasana dengan aksi masing-masing.

Minggu Setiausaha Paling Berkesan

Sempat ditemui sejurus persembahan hebatnya itu, KD yang agak tergesa-gesa ke lapangan terbang untuk pulang ke Jakarta bagaimanapun sempat berkongsi rasa syukur tidak terhingganya.

Menurutnya, persembahan itu adalah yang paling terbaik buatnya setakat ini untuk Minggu Setiausaha khususnya berdasarkan sambutan peminat serta kesempatan diberikan pihak hotel berkenaan.

“Ini satu kesempatan yang sangat luar biasa. Saya sangat bersyukur sebagai penyanyi kerana setiap hari dapat berjumpa dengan berlainan orang contohnya seperti acara hari ini (kelmarin).

“Paling istimewa, saya juga tidak sangka Datuk M Daud Kilau yang sememangnya tersohor di sini dapat meluangkan masa turut serta memeriahkan persembahan saya. Walaupun dia bersetuju di saat-saat akhir, namun kehadirannya sungguh bermakna buat saya,” katanya.

Dalam pada itu, KD sempat menguar-uarkan mengenai konsert besarnya yang bakal berlangsung pada 3 Mei nanti di Pusat Konvensyen Jakarta. Dia mengakui sudah tidak sabar kerana dia juga bakal bergandingan dengan nama besar industri muzik Indonesia pada konsert terbabit.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");