Sukan Hari Ini

PKNS enggan pinggir Ronaldinho

Kelana Jaya: Meskipun dihimpit masalah jaringan, PKNS FC yang dibimbing jurulatih E Elavarasan tidak berani mengambil risiko untuk menamatkan kontrak pemain import Patrick Ronaldinho Wleh (gambar) bagi mendapatkan penyerang baru.

Empat perlawanan tanpa Ronaldinho yang menjalani hukuman penggantungan enam bulan sejak 12 Mac lalu menyaksikan mereka gagal mencatat sebarang kemenangan termasuk seri 0-0 dengan DRB Hicom di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin.

Elavarasan sendiri tidak bercadang menggantikan pemain dari Liberia itu dengan penyerang baru biarpun jendela perpindahan pemain kedua masih lagi terbuka hingga hujung bulan ini.

“Kami tidak mahu mengambil risiko untuk menggantikan Ronaldinho kerana dia pemain yang kami sudah tahu kemampuannya. Kami tidak mahu melabur mengambil pemain lain yang belum tentu boleh memberikan aksi terbaik bersama pasukan ini. Kontraknya akan berakhir tahun depan dan kami masih memerlukan khidmatnya,” katanya.

Menurut Elavarasan, pihaknya masih menunggu surat tuntutan penjelasan daripada FAM sebelum boleh membuat rayuan hukuman penggantungan Ronaldinho yang didapati bersalah kerana berkelakuan ganas terhadap pengadil.

Dalam perlawanan kelmarin, walaupun menurunkan pemain import baru Pedro Henrique Cortes Olievera dari Timor Leste yang dibawa masuk mengisi tempat pemain dari Jepun Keisuke Ogawa, PKNS FC tetap buntu untuk menembusi kekebalan pertahanan DRB Hicom sepanjang 90 minit permainan.

Keputusan itu menyebabkan mereka hanya berjaya mengumpul 10 mata daripada lapan perlawanan selain hanya dibezakan dengan enam mata berbanding pasukan dalam kelompok zon penyingkiran.

“Kami banyak menyerang, namun peluang yang dicipta gagal dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Memang sukar untuk kami bermain dengan tiga pemain import menentang pasukan lain yang menggunakan empat pemain import. Tapi, saya percaya kami mampu beraksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” jelas Elavarasan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");