Sukan Hari Ini

Rooney yakin England punyai kelebihan berbanding Itali

MILAN: Bintang Manchester United, Wayne Rooney percaya England yang berwajah baharu memiliki kelebihan berbanding Itali berdasarkan keputusan seri 1-1 dicatat pada perlawanan persahabatan di Turin, awal pagi semalam.

Selepas mengharungi separuh masa pertama tidak produktif di Stadium Juventus yang menyaksikan Graziano Pelle meledak gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-29, England terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi pemain Tottenham, Andros Townsend pada minit ke-79.

Persembahan pada babak kedua jelas lebih meyakinkan buat England yang membuat kunjungan ke Turin tanpa beberapa tonggak utama termasuk penyerang, Daniel Sturridge dan Danny Welbeck sehingga memaksa pengurus, Roy Hodgson merombak barisan pemainnya.

Tindakannya itu menyaksikan beberapa pemain tidak bermain di posisi kebiasaan mereka dengan Rooney yang digandingkan bersama penyerang baharu, Harry Kane mengakui timbul kekecewaan di bilik persalinan England pada rehat separuh masa pertama.

Begitupun, Rooney percaya kebangkitan yang ditampilkan pada babak kedua menunjukkan potensi sebenar skuad Three Lions yang sebelum ini tumbang 2-1 kepada lawan sama ketika perlawanan pembukaan Piala Dunia di Brazil, tahun lalu.

“Kami semua kecewa dengan persembahan kami sebagai satu pasukan dan individu jadi kerana itu kami gembira dengan keputusan pada akhirnya. Kami bangkit pada babak kedua dan menunjukkan kami pasukan yang bermain lebih baik. Saya fikir, lebih baik daripada Itali,” kata Rooney.

“Sekalipun kami melakukan begitu banyak penukaran, kami tahu kali lebih baik berbanding itu. Persiapan kami tidak terganggu dengan apa yang kami tampilkan pada 45 minit pertama.

“Saya fikir kami menunjukkan karektor yang baik pada babak kedua, kami keluar dan saya fikir mendominasi permainan, menghasilkan peluang terbaik namun pada akhirnya tidak bernasib baik untuk memenangi perlawanan.”

Jurulatih Itali, Antonio Conte yang menggantikan Cesare Prandelli selepas Piala Dunia turut mengakui England bermain seperti pasukan yang biasa memenangi perlawanan.

“Ada banyak perkara yang tidak mesra mengenai perlawanan ini,” kata Conte.

“Namun kamu tidak boleh lupa England sudah menang tujuh perlawanan mereka sejak Piala Dunia, dan mereka menunjukkan keinginan untuk kekal tanpa kalah,” kata bekas jurulatih Juventus itu. – AFP/berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");