Jenayah

Rumah pengamal perubatan diserbu

MACHANG – Cawangan Penguat Kuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Kelantan berjaya merampas lapan jenis produk ubat-ubatan tradisional yang disyaki tidak berdaftar dan mengandungi racun berjadual dalam serbuan di sini, semalam.

Dalam serbuan yang bermula jam 11 pagi hingga 1 petang itu, pihak terbabit menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah pengamal perubatan tradisional yang mendakwa menghasilkan produk menggunakan akar kayu namun didapati beberapa produk yang dihasilkan mempunyai racun berjadual.

Serbuan tersebut dilaksanakan berdasarkan aduan orang ramai, malah Sinar Harian difahamkan, seorang pesakit yang pernah menggunakan ubat itu dimasukkan ke hospital.

Pegawai Penguat Kuasa Farmasi, Mohd Yusri Che Musa berkata, operasi tersebut dilakukan bagi mengesan produk-produk berkenaan yang masih dijual kepada orang ramai dan memberi kesan sampingan kepada pengguna memandangkan tidak mempunyai kelulusan di bawah Kementerian Kesihatan.

“Operasi yang disertai oleh lima penguat kuasa merampas pelbagai produk yang dihasilkan dan dianggarkan bernilai RM7,000. Menurut pengusaha terbabit, dia menjual sekitar RM15 bagi sebotol ubat tersebut.

“Antara racun berjadual yang dikesan dalam ubat tradisional itu adalah chlorpheniramine, diclofenac dan glibenclamide. Pihak kami turut membuat risikan sebelum serbuan dibuat berdasarkan aduan orang ramai,” katanya.

Mohd Yusri berkata, orang ramai diminta peka tentang ubat yang mereka ambil bagi mengelak sebarang insiden yang boleh membahayakan nyawa terutamanya yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

Katanya, operasi seumpama itu diadakan dari masa ke semasa bagi mengesan produk yang tidak berdaftar serta mengandungi racun berjadual yang boleh membahayakan pengguna.

“Jika sabit kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 Peraturan 7 (1) (a), Peraturan-Peraturan Kawalan dadah dan kosmetik 1984 yang mana jika disabitkan kesalahan akan dikenakan denda RM25,000 atau tiga tahun penjara.

“Manakala di bawah seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 yang memiliki bahan keluaran yang mengandungi racun boleh didenda RM3,000 dan penjara satu tahun,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");