Sukan Hari Ini

‘Saya tetap akan tunggu’

SEGAMAT – Jaguh bina badan negara, Sazali Samad menegaskan, dia tetap akan menunggu peluang untuk merangkul pingat emas Sukan SEA, biarpun usianya bakal mencecah 50 tahun apabila temasya itu berlangsung di Kuala Lumpur pada 2017.

Menurut Sazali, keputusan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Singapura tidak menyenaraikan acara bina badan amat mengecewakannya, namun itu tidak bermakna dia sudah berputus asa untuk memburu emas pertama buat dirinya.

Juara Mr. Universe 10 kali itu menegaskan, biarpun sudah mengecapi pelbagai kejuaraan lebih besar di peringkat antarabangsa, namun Sukan SEA mempunyai keistimewaan tersendiri buat dirinya.

“Saya akur dengan ke­putusan jawatankuasa penganjur, namun sedikit terkilan kerana terpaksa menunggu dua tahun lagi sebelum berpeluang menyumbang pingat kepada negara dalam temasya yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 2017.

“Walaupun saya sudah memenangi banyak kejohanan di peringkat yang lebih tinggi, namun pingat emas Sukan SEA mempunyai nilai tersendiri dan istimewa kepada saya,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan Kampung Te­ngah, di sini semalam.

Selepas sekadar meraih perak dalam temasya terakhir di Nay Pyi Taw, Myanmar, Sazali sentiasa memasang misi untuk memburu emas pertamanya dalam kategori 70 kilogram.

Menurutnya, walaupun bakal mencecah usia 50 tahun apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA, namun usia bukan penghalang untuk dia berusaha meraih emas le­bih-lebih lagi temasya tersebut bakal diadakan di hadapan penyokong sendiri.

Dalam pada itu, dia menyifatkan semua calon yang telah disenarai pendek untuk Anugerah Sukan Negara yang bakal diumumkan pada 28 April ini mempunyai peluang dan kelebihan sendiri untuk dinobatkan sebagai pemenang.

“Namun saya melihat Datuk Lee Chong Wei ada kelebihan memandangkan beberapa siri kejayaan yang dirangkulnya dalam pelbagai kejohanan peringkat dunia sepanjang tahun lepas,” ujarnya. – www.utusan.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");