Sukan Hari Ini

Skuad Talib kena buat banyak kerja ‘pemulihan’

KUALA LUMPUR – Regu negara pulang dari Gunsan, Jeollabuk-do, Korea Selatan hari ini dengan ‘markah B’, melihat kepada pencapaian tempat ketiga dalam Siri Super Istaf 3/2014-15.

Mereka boleh dianggap mengecewakan selepas kalah kepada tuan rumah, Korea Selatan 14-21, 13-21 dan yang mengejutkan, Singapura 20-22, 17-21.

Dua kekalahan 0-2 dalam peringkat Kumpulan B dan separuh akhir di Stadium Wolmyeong itu mengundang persoalan mengenai konsistensi anak-anak buah Talib Ahmad yang Februari lalu, gah mengejutkan musuh tradisi, Thailand 21-7, 21-19 untuk menjuarai siri 2 di Melaka.

Regu negara kali ini terus merudum sedangkan di Nay Pyi Taw, November lalu juga, mereka nyaris menjinakkan Si Gajah Putih (yang cuma mengekalkan seorang pelibas, Thawisak Thongsai di Gunsan) sebelum dihampakan 20-22, 21-18, 21-23 dalam perlawanan akhir siri 1.

Hanya Khairol Zaman Hamir Akhbar yang dikekalkan ke Gunsan daripada regu emas Melaka namun prestasi longlainya dan empat rakan sepasukan, menggambarkan betapa ‘kerja perbaikan’ diperlukan Talib menjelang misi kemuncak tahun ini – Sukan SEA Singapura, 5 hingga 16 Jun ini.

Tekong utama, Sahidan Md. Ali yang sudah berada dalam skuad elit sejak 2013 diharap menunjukkan kematangan dan peningkatan, namun sebaliknya beraksi hambar.

Penggantinya, Hairul Hazizi Haidzir pula agak menyerlah sekalipun siri 3 ini menjadi pendedahan antarabangsanya yang pertama.

Libasan Khairol Zaman dan Zamree Mohd. Dahan pula mudah dibaca, sementara Zuleffendi seperti belum bersedia dengan pentas sebesar Siri Super Istaf lantas bagaimana mereka mahu mengharungi medan tempur yang lebih besar dan penting di Singapura nanti.

Biarpun Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak meletakkan sasaran pingat emas, peminat sepak takraw tanah air mahukan persembahan bermati-matian.

“Pemain sudah belajar daripada kesilapan itu (membalas dendam kepada lawan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga kelmarin, 21-18, 21-9).

“Kami akan mengkaji semula pencapaian di Gunsan supaya tidak berulang dalam Piala Raja Thai nanti (4 hingga 10 Mei),” janji Talib.

Bekas tekong negara itu juga tidak sesekali menekan butang panik. “Saya terkejut kerana prestasi pemain kurang baik dalam dua aksi terakhir, namun saya tidak bimbang kerana kami masih dalam proses menilai,” ujarnya lagi. – http://www.utusan.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");