Jenayah

Tukang pasang mozek putih mata

KUALA TERENGGANU – Seorang tukang pasang mozek terpaksa berputih mata apabila perbuatannya yang mencuri telefon bimbit milik seorang pelajar berjaya dihidu sebelum ditangkap polis pada hari sama kejadian.

Lebih malang, Saifulzaman Ismail @ Nasib, 27, turut menerima pembalasan atas perbuatan berkenaan apabila dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Tidak cukup dengan itu, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi turut memerintahkan agar dia dikenakan hukuman tambahan penjara selama sebulan sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda dikenakan.

Kesemua keputusan itu dibuat apabila Saifulzaman yang beralamat dari Taman Perumahan Wakaf Tengah, di sini, mengaku salah telah mencuri sebuah telefon bimbit jenama Alcatel milik Nuradila Mahamad Yusoff, 19.

Dia mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri itu di kawasan parkir Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, pada 8 Januari lalu, jam lebih kurang 5.30 petang.

Dengan itu, Saifulzaman dihukum penjara boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah ke lokasi kejadian lebih kurang jam 5.30 petang untuk beriadah sebelum meninggalkan telefon bimbit miliknya serta wang tunai lebih kurang RM15 di bawah tempat duduk motosikalnya.

Bagaimanapun, setelah selesai beriadah lebih kurang jam 7 petang, mangsa dapati kesemua barang miliknya telah hilang sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis.

Sejurus laporan dibuat, lebih kurang 7.30 petang, Saifulzaman yang ketika itu berada di tepi sebuah rumah kosong di Kampung Mengabang Telong Batu Rakit, di sini, berjaya diberkas dan hasil pemeriksaan ke atas tubuh badannya menemui barang milik pelajar tersebut.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");