Isu Panas

Wawancara Khas Calon PAS: Nazri Tidak Janji Bulan-Bintang, Fokus Agama Dan Masa Depan

ANAK kelahiran Felda Keratong 5 ini walaupun nama baru dalam politik tetapi boleh dianggap berupaya memberi saingan sengit kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, 5 Mei ini.

Latar belakang pendidikan dan agama yang tinggi dimiliki Nazri Ahmad, 40, menjadi antara senjata taruhan PAS untuk merampas kubu kuat BN sejak sekian lama.

Di sebalik sikap lemah-lembutnya, Nazri mempunyai cita-cita besar untuk mengangkat suara generasi muda ke peringkat tertinggi bagi memperjuangkan nasib dan masa depan mereka.

Nazri yang juga bapa kepada enam anak aktif berpolitik apabila dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS Rompin pada 2005.

Pada ketika ini, beliau merupakan Ketua Pemuda PAS Pahang untuk penggal akhir dan menjadi pilihan Majlis Syura Ulama PAS juga di peringkat akar umbi parti tersebut.

Nazri yang juga bekas pensyarah sambilan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah adalah lulusan Sarjana Syariah Islamiyyah dari Universiti Al-Azhar Mesir.

Ikuti temubual eksklusif bersama calon PAS itu yang disifatkan sebagai seorang yang mesra dan mudah didekati serta mampu membawa perubahan kepada pengundi di Rompin.

mStar: Apa perasaan saudara selepas diumumkan sebagai calon PAS PRK Rompin?

Nazri: Saya berterima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat. Walaupun pada mulanya saya berat hati untuk terima beban ini kerana rasakan diri ini begitu kerdil untuk wakili satu jemaah PAS. Insya-Allah saya akan bantu sedaya upaya. Sekiranya kamu ditolong Allah maka tiada kuasa dapat mengalahkan kamu.

mStar: Berkempen sebagai calon buat pertama kalinya?

Nazri: Tidaklah satu kejutan kerana sebelum ini saya sebagai Ketua Pemuda PAS kawasan sudah padat dengan program-program turun ke daerah di Pahang. Bukan satu perkara yang luar biasa.

mStar: Apa kekuatan yang ada pada saudara?

Nazri: Yang pertama saya mewakili suara anak muda yang rata-rata kehidupan mereka tidak terjamin lebih-lebih lagi dengan bebaban sara hidup. Maka ini satu peluang sebenarnya untuk saya beri sumbangan kepada umat Islam yang dizalimi pemimpin. Allah beri peluang kepada pengundi Rompin untuk beri isyarat kepada BN jangan ambil mudah nasib dan penderitaan rakyat.

mStar: Bagaimana penerimaan pengundi di Rompin setakat ini?

Nazri: Semalam saya pergi ke DUN Tioman, antaranya ke Kampung Selendang, alhamdulillah respons yang sangat baik terutama daripada anak-anak muda. Mereka nyatakan luahan tidak memiliki rumah kediaman sendiri terutamanya di kawasa Felda. Walaupun rumah generasi kedua dengan harga lebih RM100,000 hakikatnya mereka tak mampu kerana tiada pendapatan tetap.

mStar: Apa masalah membabitkan golongan remaja di Rompin yang membimbangkan saudara pada masa ini?

Nazri: Melepak antara satu fenomena membimbangkan di sini. Antara faktor itu adalah ibu bapa. Tidak seperti di bandar yang mana ibu bapa lebih berpendidikan, mereka memberikan pendidikan terhadap anak-anak. Jadi berbeza di tanah rancangan Felda ini, kadang-kadang pendidikan tidak diberi penekanan dan menyumbang kepada gejala sosial.

mStar: Apakah isu yang akan menjadi perhatian saudara sepanjang kempen?

Nazri: Isu GST, saham FGV dan kemerosotan harga kelapa sawit… Isu pencemaran alam sekitar di Bukit Ibam, perlombongan bijih timah, kita terima aduan daripada penduduk setempat. Lori keluar masuk saya difahamkan perlombongan ini tidak terkawal, jika kita pergi ke sana dapat lihat kawah-kawah besar dekat dengan kediaman. Ia amat membimbangkan penduduk.

mStar: Memasuki hari ketiga kempen, bagaimana anda lihat program sepanjang kempen ini?

Nazri: Kempen nak kata agresif tak juga tapi sebagai Ketua Pemuda PAS kawasan kemudian YDP (Yang Dipertua kawasan) memang kita ada buat program. Saya dah ada hubungan dengan penduduk sebagai pemegang amanah parti sebelum ini.

mStar: Apa strategi untuk mendekati masyarakat Orang Asli yang juga antara pengundi setia BN?

Nazri: Sebelum ini kita dah turun ke perkampungan Islam orang asli, mereka mengadu tidak ada air bersih untuk bersuci, berwuduk… Alhamdulillah kita bantu mereka gali telaga. Tempoh kempen baru dua hari. Insya-Allah kita akan temui seramai mungkin pengundi, selain program ziarah kita guna media sosial untuk sampai kepada penggundi.

mStar: Adakah saudara yakin berpeluang untuk menang? Berapa peratus keyakinan anda?

Nazri: Kita tak boleh letakkan angka, cuma kita akan sedaya upaya kurangkan majoriti. Dengan isu yang banyak hari ini, tak mustahil (pengundi) akan beri sokongan kepada PAS.

mStar: Apa perubahan-perubahan yang saudara ingin lakukan dalam kawasan Felda?

Nazri: Saya ingin perbanyakkan program ilmiah dan keagamaan. Pusat komuniti di Felda itu ada tetapi perlu banyakkan pengisian. Sebelum ini ada biro agama di Felda tapi tidak berfungsi dengan baik, kurang memberi penekanan kepada generasi muda.

mStar: Soalan terakhir, andai ditakdirkan menang apakah yang akan saudara lakukan?

Nazri: Antaranya fokus kepada pembelaan rakyat tempatan khususnya di DUN Tioman. Sehingga hari ini, walaupun mereka berada di situ puluhan tahun… sudah tiga generasi tetapi tidak perolehi geran tanah, ini cuba kita ketengahkan, pembelaan yang diabaikan kerajaan.

Dari segi pembangunan kita akan cuba perbetulkan struktur yang ada. Penyusunan bandar, kita lihat kesan-kesannya kepada maklum balas masyarakat setempat. Kita buat penambahbaikan dengan bawa suara rakyat ke Parlimen supaya beberapa langkah dapat diambil kerajaan.

Rompin ini bandar terbiar, jadi kemenangan PAS pada PRK Rompin ini penting sebagai isyarat kepada kerajaan agar cakna kepada nasib dan pembangunan rakyat di sini. Insya-Allah saya akan bela nasib rakyat Rompin yang setakat ini terbiar.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");