Jenayah

10 pemilik bengkel rugi RM100,000

BALAKONG – Lebih 10 pemilik bengkel sekitar Cheras dan Balakong mengalami kerugian hampir RM100,000 apabila premis perniagaan mereka dipecah masuk antara 7 dan 19 Mei lalu.

Suspek dipercayai geng penjenayah yang sama melarikan pelbagai peralatan termasuk enjin kereta, rim tayar, komputer riba, set rakaman litar tertutup (CCTV) dan ratusan bateri kereta serta tayar pelbagai saiz.

Pemilik bengkel, Mohd Zurin Mohamad, 45, berkata, dia yang mengalami kerugian hampir RM30,000 menyedari bengkel miliknya dipecah masuk ketika memulakan operasi perniagaan Selasa lalu.

Pintu bahagian depan terdapat kesan umpil, barang berselerak dan lampu yang ditutup sebelum itu terpasang menyebabkan dia mengesyaki premisnya dipecah masuk.

“Saya terus buat pemeriksaan dan dapati enjin kereta Perodua Viva milik pelanggan dalam bengkel hilang. Bukan itu saja, bateri, telefon bimbit dan besi buruk pun habis dikebas,” katanya.

Dia yang menjalankan perniagaan itu sejak enam tahun lalu di Taman Sri Indah gusar kegiatan kecurian berulang.

“Sekarang saya takut nak simpan stok barang di bengkel, rasa tak selamat. Mohon kalau boleh pihak polis tingkatkan rondaan,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Tun Hussin Onn.

Pekerja kedai tayar di Taman Impian Ehsan, Lin Sum Weng, 30, pula berkata, majikannya kerugian lebih RM20,000 apabila tayar, bateri kenderaan, rim tayar kereta mewah dan sejumlah wang tunai dilarikan penjenayah.

Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee yang menerima aduan berkata, jenayah itu berlaku dalam jarak satu kilometer dari Cheras Raya ke Taman Impian Ehsan.

Beliau menerima aduan daripada 10 pengusaha bengkel yang menyuarakan kebimbangan selepas premis perniagaan mereka dipecah masuk dan mengalami kerugian besar.

“Saya sudah kumpul laporan polis mangsa dan menulis surat kepada ketua polis daerah Jumaat lalu, siasatan dan tindakan untuk membendung jenayah ini perlu dilakukan serta-merta,” katanya.

-SInar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");