Berita Hari Ini

Agihan Wang Ihsan Kepada Mangsa Banjir Di Kelantan Masuk Fasa Kedua

KOTA BAHARU: Kira-kira 60,900 atau 70 peratus daripada 87,000 keluarga mangsa banjir di Kelantan telah menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM500 setiap keluarga, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau berkata baki 30 peratus atau 26,100 daripada jumlah keluarga mangsa terbabit akan menerima bantuan wang ihsan sebelum bulan puasa pada Jun ini supaya mereka dapat membuat persiapan membeli barangan keperluan.

Kata Ahmad Jazlan, pihaknya sedang menunggu senarai nama mangsa banjir daripada Majlis Keselamatan Negara sebelum memulakan fasa kedua proses pengagihan memandangkan terdapat pertindihan dalam senarai nama penerima.

“Kita minta mangsa banjir bersabar kerana kerajaan pusat akan beri bantuan wang ihsan itu kepada semua dan mereka tidak perlu risau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia ke-38 di sini Khamis.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan yang juga Anggota Parlimen Machang, berkata PAS kini seperti sudah hilang arah dan tidak mempunyai prinsip perjuangan sendiri.

“Apabila satu keputusan kita buat, kita perlu kekal dengan keputusan itu.Kita jadi pemimpin parti politik kena yakin dan selalu berpegang kepada keputusan yang telah dibuat.

“PAS seperti telah dinodai oleh rakan mereka sendiri, apabila mereka ingin hudud dibawa ke Parlimen, yang lantang menentang adalah rakan kongsi mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Pemuda PAS Pulau Pinang dan PAS Permatang Pauh yang membatalkan hasrat memboikot pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dan menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang membatalkan hasrat memboikot PRK Parlimen Permatang Pauh namun bertegas mahu Angkatan Muda Keadilan negeri memohon maaf berhubung kenyataan mereka memfitnah pimpinan PAS berhubung hukum hudud.

Pada 25 April lepas, PAS Permatang Pauh yang turut melahirkan hasrat memboikot PRK itu, menarik balik keputusannya selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR pada malam sebelumnya.

PRK Parlimen Permatang Pauh 7 Mei depan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Wan Azizah (PKR), Suhaimi Sabudin (Barisan Nasional), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");