Membawang Hari Ini

Aishah mahu rehat

Drama paling panjang dalam sejarah penerbitan tanah air, Cinta Ibadah menjulang nama pelakon Aishah Ilias. Sejak itu, tawaran demi tawaran hadir namun terpaksa ditolak kerana masih terikat dengan penggambaran drama 130 episod itu.

Aishah, 27, akui sejak Cinta Ibadah disiarkan, dia dapat rasakan perubahan positif dalam karier, bahkan terasa dirinya kini makin diterima masyarakat.

Katanya, dia bersyukur kerana rezekinya kekal murah. Sebagai pendatang baru, tentu ia berita yang menggembirakan dan dia sangat berbesar hati.

Ternyata cabaran menjayakan dua watak sebagai Siti dan Rina dalam Cinta Ibadah memberi pulangan berbaloi apabila dirinya kini mula dikenali.

“Insya-Allah, selepas ini saya akan bekerja lebih keras untuk menempatkan nama dalam industri,” kata pelakon filem seram, Paku ini.

Setahun lebih menjalani penggambaran tanpa henti, pelakon berdarah kacukan Arab-India sebelah ibu dan Cina-Jawa (bapa) ini memutuskan untuk berehat kerana mahu habiskan masa bersama keluarga serta memenuhi undangan fotografi bersama media.

“Cinta Ibadah ada 130 episod dan boleh dikatakan setiap hari ada penggambaran. Kalau pun cuti, boleh bilang dengan jari. Ketika itu hidup saya banyak di lokasi hingga tiada masa untuk keluarga dan memenuhi undangan pelbagai pihak, termasuk media.

“Sekarang saya berehat sebulan untuk tebus ‘hutang’ itu. Seronok dapat luangkan masa bersama keluarga dan memenuhi undangan pelbagai pihak,” katanya.

Dalam tempoh berehat itu, banyak juga benda baru yang ingin dilakukannya, termasuk memotong rambut. Katanya, sudah lama berambut panjang, terasa hendak tukar gaya dengan potongan pendek. Biar nampak lain dan lebih segar.

“Sebenarnya ada dua tawaran menjayakan telefilem, tetapi saya tolak dan akan kembali aktif bulan depan,” katanya.

Aishah yang ditemui di majlis tayangan perdana filem Pilot Cafe baru-baru ini, gembira diberi peluang menjayakan filem arahan Osman Ali itu.

Katanya, meskipun hanya dua babak, dia gembira dapat beraksi dalam filem adaptasi dari novel popular serta bekerja dengan Osman.

“Bekerja dengan Osman sangat mudah kerana banyak membantu saya menjiwai lakonan dan tidak banyak cakap. Saya juga bertuah dapat bekerja dengan Osman.

“Siapa tidak mahu bekerja dengannya yang membuktikan kehebatannya dalam beberapa filem sebelum ini. Saya juga peminat setia karyanya dan peluang beraksi dalam Pilot Cafe sungguh menggembirakan. Meskipun hanya dua babak, ia sangat berharga bagi saya.

“Saya pegang watak perempuan simpanan Ameer Reeza lakonan Fahrin Ahmad. Watak saya hamil tetapi Ameer tidak mahu bertanggungjawab dan minta kandungan digugurkan.

“Inilah produksi pertama saya berlakon dengan ramai pelakon perempuan dan semuanya cantik serta dikenali. Saya harap filem adaptasi novel Ahadiat Akashah ini sukses dan dapat kutipan pecah panggung,” katanya sambil berharap dapat bekerja lagi dengan Osman selepas ini.

Dalam perkembangan lain, Aishah bakal muncul dengan filem Usin UFO yang menjalani penggambaran sama waktu dengan Pilot Cafe, tahun lalu.

Menerusi filem arahan Zul Yahya itu, dia memegang watak utama di samping pelakon dan pelawak Shuib Sepahtu.
Katanya, kalau diberi pilihan watak serius dan lucu, dia akan pilih lucu kerana lebih mudah dibawa dan dekat dengan jiwanya.

“Dalam kehidupan sebenar, saya suka bergurau dan jenis kelam-kabut. Kalau dapat watak berat dan serius, saya akan susah hati. Lebih-lebih lagi kalau ada babak menangis.

“Dalam Cinta Ibadah misalnya, saya lebih suka watak Rina berbanding Siti kerana Rina lebih hampir dengan keperibadian sebenar saya.

“Apapun, sebagai pelakon, saya tidak boleh memilih. Apa saja watak yang datang, saya akan buat sehabis baik kerana itu amanah dan kepercayaan diberikan produksi. Cuma kalau diberi pilihan, saya lebih suka komedi,” katanya.

Baru dua tahun sebagai pelakon, bekas setiausaha syarikat pembinaan ini mengakui, minatnya pada dunia lakonan makin mendalam dan selesa dengan rutin kerjaya yang disifatkan fleksibel.

Memandangkan tawaran semakin banyak, Aishah berhasrat mencari pe­ngurus bagi menguruskan kerjayanya. Antara kriteria dicari ialah, individu itu mesti tahu hal ehwah industri, berpengalaman mengurus artis dan boleh merangka kerjayanya.

“Selama ini saya urus sendiri, termasuk susun jadual, mencari baju dan solekan. Apabila tawaran semakin banyak, tak terkejar jadinya dan saya perlukan khidmat pengurus bagi memastikan semuanya lebih terurus.

“Saya tidak kenal sangat orang dalam industri dan harap akan berjumpa individu yang sesuai dalam waktu terdekat,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");