Membawang Hari Ini

Atikah fokus karakter

Atikah Suhaime antara wajah baru yang sedang mengembangkan bakat seninya dan menjadi pertaruhan terbaru MIG Productions namun hakikatnya nama pelakon itu belum dikenali sepenuhnya oleh masyarakat umum. Lakonannya menerusi beberapa filem dan drama belum berupaya meresap di jiwa penonton.

Menyedari perkara ini, pelakon berusia 24 tahun kelahiran Singapura ini mengakui akan bekerja keras untuk mencipta nama. Baginya untuk berjaya mesti diiringi dengan pengorbanan.

“Saya sedar persaingan dalam bidang seni begitu hebat di mana banyak pelakon baru muncul. Setiap orang ada cara sendiri untuk menarik perhatian peminat dan mencipta populariti.

“Saya pula lebih selesa untuk mencipta nama menerusi lakonan dan fokus pada karakter. Aspek kualiti lebih saya utamakan berbanding kuantiti,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran siri drama Puteri Gunung Ledang Aku Telah Jatuh Cinta, baru-baru ini.

Sebagai persediaan bagi memantapkan dirinya sebagai pelakon versatil, Atikah tidak kisah diberikan apa saja watak dan dia pasti akan melakonkannya sehabis baik.

Menerusi drama itu, Atikah diberikan watak gadis kampung bernama Natasha yang berperwatakan tomboi, namun akhirnya menjadi rebutan ramai lelaki termasuk bosnya sendiri.

“Saya memang teruja berlakon cerita ini kerana tajuknya pun unik, Puteri Gunung Ledang tetapi ceritanya berkisar situasi sekarang. Asalnya daripada tomboi saya kemudiannya jadi model cantik.

“Memang gemuruh kerana saya kena tukar cara bercakap untuk menjadikan lakonan saya berkesan. Sudah tentu ada perbezaan ketika saya jadi tomboi dan kemudiannya jadi wanita jelita.

“Untuk menghayati watak ini, saya jadikan Aaron Aziz sebagai inspirasi. Kita dapat lihat ketenangan dia ketika membawakan pelbagai watak yang pernah dibawakannya.

“Daripada pemerhatian itu, saya cuba bawakan karakter tomboi dalam gaya tersendiri. Ia tak perlu nampak ‘over’ kerana saya cuba tonjolkan lagak tomboi yang ‘cute’,” katanya.

Sebelum ini, Atikah pernah membintangi drama Bila Hati Berbicara, Dewi Lasak, Rubi serta telefilem Doa Ibu dan Kampung Mang­kuk Sengkuang.

Dia juga pernah tercalon dalam Top 5 kategori Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH2013).

Masih hijau

Ibarat baru setahun jagung dalam bidang seni, namun Atikah sudah membintangi beberapa filem iaitu Lagenda Budak Hostel, Longkai, Cari, Highlands Tower, Banglasia, Kasutku Kusut dan Gudang Kubur.

Dia juga terbabit di dalam filem Suamiku Jatuh Dari Langit bergandingan dengan Qi Razali dan Nora Danish.

“Saya gembira kerana diberi kepercayaan untuk berlakon dalam semua filem ini. Tidak dinafikan saya kena buat sesuatu untuk diterima peminat. Namun, buat masa ini saya sedang ‘enjoy’ dengan kerja saya dan belum boleh memilih watak.

“Ini adalah proses pembelajaran untuk saya dan apa saja tawaran yang diberikan oleh penerbit, saya kena terima dan melakonkannya sebaik mungkin,” jelasnya.

Atikah juga sering berkongsi aktiviti seharian menerusi laman sosial Instagram.
Belum masa bercinta

Atikah yang berdarah campuran Melayu sebelah bapa dan Arab sebelah ibu, dikatakan sedang hangat menjalinkan hubungan cinta dengan seorang juruterbang.

Bagaimanapun dia enggan mengulas lanjut apabila diasak dengan persoalan itu.

“Kami hanya kawan biasa kerana saya memang suka berkawan tanpa mengira dia siapa dan statusnya,” kata­nya yang pernah dikatakan bercinta dengan pelakon Hafreez Adam.

Dalam pada itu, Atikah juga dikatakan mula intim ­dengan pelakon Ammar Alfian, pasangannya dalam Puteri Gunung Ledang Aku Telah Jatuh Cinta.

Namun katanya, kemesraan mereka hanya bagi menjayakan watak dan tidak lebih daripada itu.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");