Sukan Hari Ini

Aura Kien Keat, Boon Heong

BEKAS beregu lelaki kebangsaan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong membuktikan mereka masih memiliki aura tersendiri apabila menjadi satu-satunya wakil negara meneruskan cabaran dalam kejohanan badminton Siri Super Terbuka Australia.

Dalam perlawanan pusingan kedua yang berlangsung di Sydney, semalam, Kien Keat-Boon Heong hanya memerlukan 32 minit untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menyingkirkan pilihan ketiga dari Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin, 21-16, 21-18.

Pada aksi suku akhir hari ini, mereka bagaimanapun sekali lagi berdepan tugas getir apabila bakal bertemu pilihan keenam dari China, Liu Xiaolong-Qiu Zihan yang mengalahkan pasangan Taiwan, Chen Hung Ling-Wang Chi Lin, 21-16, 21-17.

“Kami bernasib baik apabila semuanya menjadi dan akhirnya berjaya memenangi perlawanan hari ini (semalam), mudah-mudahan kami mampu melakukan lebih baik dalam perlawanan suku akhir esok (hari ini).

“Sudah pasti bukan mudah, tapi kami akan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan cabaran pada kejohanan ini,” kata Boon Heong.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal meneruskan kemaraan apabila kecundang kepada pasangan pilihan kelima dari Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa.

V Shem-Wee Kiong bermula baik pada set pertama dengan merekodkan kemenangan 21-19 tetapi tewas di set kedua 16-21.

Walaupun cuba bangkit dengan memberi saingan pada set penentuan, pasangan negara perlu akur dan akhirnya tewas 16-21 dalam perlawanan selama 57 minit.

“Pihak lawan nampak lebih berani ketika melakukan serangan sehingga menyebabkan kami bermain dalam keadaan tertekan dan kerap melakukan kesilapan,” kata V Shem.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");