Sukan Hari Ini

Belia tak tahu ada dana, pinjaman

KEMENTERIAN Belia dan Sukan mengakui menerima banyak aduan golongan belia tidak mengetahui terdapat dana dan pinjaman bagi membantu mereka dalam bidang perniagaan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, disebabkan itu, ramai di kalangan mereka tidak dapat memulakan perniagaan walaupun mempunyai minat.

“Masih banyak lagi aduan saya terima daripada belia yang ingin menceburi perniagaan dan keusahawanan.

“Semua agensi terlibat dalam memberi dana dan pembiayaan kepada usahawan muda perlu memainkan peranan dalam meningkatkan lagi pemasaran supaya mereka memperoleh maklumat,” katanya pada sesi pembentangan dialog bersempena Persidangan dan Pameran
PKS Asean 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), kelmarin.

Katanya, peningkatan pemasaran dapat memberi pemahaman kepada golongan belia dan tidak wujud alasan mereka tidak memperoleh modal dari kerajaan.

“Pengalaman saya menjadi Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) selama dua tahun menunjukkan senario di mana dana dan pinjaman yang diperuntuk tidak dapat dipinjamkan kepada semua golongan.

“Modal yang kita peruntuk kepada usahawan muda tidak dapat kita pinjamkan semua kerana tidak menerima permohonan mencukupi, sedangkan ramai mengatakan mereka tidak mendapat apa-apa modal dari kerajaan,” katanya.

Katanya, ini menunjukkan berlaku situasi ketidakpadanan di mana permintaan pinjaman tidak dipenuhi kerana kekurangan pemohon hanya kerana golongan belia tidak mendapat maklumat mengenainya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim ketika ditanya mengenai situasi tersebut berkata, pihaknya sentiasa menjalankan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam membantu usahawan muda.

“Antaranya melalui program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) di mana kami mengambil golongan belia yang mempunyai sijil kemahiran.

“RM10 juta disediakan di bawah program ini di mana peserta yang berjaya diberi dana permulaan RM15,000 untuk mula perniagaan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");