Berita Hari Ini

Boikot: Siasatan Terhadap Ismail Sabri Masih Dijalankan

KUALA LUMPUR: Polis masih menjalankan siasatan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berhubung gesaannya supaya memboikot peniaga Cina, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata polis memulakan siasatan kes itu pada 3 Februari dan siasatan masih dijalankan.

“Oleh itu, saya tidak bercadang untuk mendedahkan butiran mengenai perkara itu kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis terhadapnya,” kata Dr Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis kepada Ramkarpal Singh (DAP – Bukit Gelugor), Rabu.

Ramkarpal telah meminta menteri menjelaskan mengapa Akta Hasutan tidak digunakan terhadap menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ke atas komen beliau bahawa pengguna Melayu perlu memboikot produk yang dijual oleh peniaga-peniaga Cina.

Dr Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak pernah berat sebelah dalam menguatkuasakan undang-undang, termasuk dalam kes melibatkan Ismail Sabri ini.

Dalam jawapan bertulis yang berasingan, beliau berkata 103 orang telah ditangkap di antara 2014 dan 7 Mei tahun ini kerana terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).

“Daripada jumlah itu, 41 telah ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 manakala 16 ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah.

“33 orang telah dibebaskan manakala 13 lagi telah diusir dari negara ini,” kata Dr Ahmad Zahid.

Beliau menjawab Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS – Kubang Kerian) yang meminta menteri menyatakan berapa ramai yang telah ditangkap kerana terlibat dengan IS sejak Kerajaan meluluskan Kertas Putih mengenai ancaman IS tahun lepas.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");