Sukan Hari Ini

Bola Sepak Malaysia Perlu Usaha Jangka Panjang Untuk Berjaya – Ryser

MASA antara faktor utama bagi sesebuah pasukan bola sepak negara mencatat kejayaan di peringkat tertinggi selain diringi dengan sikap sabar, jelas Pengarah Teknikal Bola Sepak Switzerland, Dany Ryser.

Ryser,58, merupakan antara orang penting dalam program pembangunan bola sepak di Switzerland yang kini sudah berada sebaris dengan pasukan gergasi dunia yang lain.

“Agak mustahil untuk mencapai kejayaan dalam tempoh yang singkat. Kami sendiri memulakan program pembangunan akar umbi sejak tahun 80-an lagi. Satu masa yang panjang untuk mencatat nama di peringkat dunia.

“Program pembangunan yang kami lakukan dulu adalah sama dengan program pembangunan yang dilaksanakan di sini. Cuma kami lebih awal mengaplikasinya.

“Buktinya kini pasukan kebangsaan Swiss berada di ranking ke-9 dunia,” jelasnya kepada mStar Online.

Ryser berkunjung ke Malaysia buat kali pertama sebagai penceramah jemputan bagi Simposium Ke-2 Kejurulatihan Program Pembangunanan Bola Sepak Negara (PPBN) selama tiga hari di Institut Sukan Negara (ISN) bermula Isnin.

Menurut bekas pemain kebangsaan Swiss ini, sesuatu program itu akan nampak hasilnya apabila setiap individu yang terlibat memahami falsafah program yang dilaksanakan.

“Kita perlu tahu objektif sebenar, perlu sabar dan paling penting faktor masa kerana kejayaan tidak akan dicapai dalam tempoh singkat.

“Kita tidak boleh mengubah sesuatu perkara dengan segera atau mahukan kemajuan dalam tempoh pendek kerana jurulatih yang akan mencorakkan program itu sama ada berjaya atau tidak.

“Sebab itu setiap jurulatih perlu faham keadaan semasa dan bukan hanya tertumpu di padang sahaja,” jelasnya.

Selain kejayaan skuad kebangsaan yang berjaya berada dalam kelompok sepuluh terbaik dunia, Ryder juga berjaya menjulang skuad muda Swiss apabila bergelar juara Piala Dunia FIFA Bawah 17 Tahun (B17) di Nigeria pada tahun 2009.

“Pasukan remaja itu antara contoh terdekat hasil daripada program yang teratur. Saya yakin pasukan muda Malaysia akan berjaya satu hari nanti kerana pelatih-pelatih yang ada dalam PPBN mempunyai potensi besar untuk mengubah lanskap bola sepak negara ini.

“Saya gembira melihat mereka berlatih dengan penuh motivasi malah dapat mengikuti dengan baik apa yang dilatih,” katanya yang enggan memberi sebarang komen mengenai skuad kebangsaan Malaysia.

Selain menjadi pengarah teknikal bola sepak, Ryser juga merupakan pengurus bagi skuad B-15 dan B-21 Tahun Swiss.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");