Jenayah

Budak lembam hamil

Baling: Seorang remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) hamil empat bulan selepas dipercayai dirogol jiran sekampungnya lebih tujuh kali sejak awal tahun ini ketika ibu bapanya keluar bekerja.

Dalam kejadian di sini, mangsa berusia 15 tahun adalah anak keempat daripada enam beradik mengalami kecacatan otak sejak lahir.

Menurut bapa mangsa, dia mengetahui mengenai kejadian menimpa anaknya itu selepas membawa anaknya menjalani pemeriksaan kesihatan rutin di Hospital Baling (HB), Khamis lalu.

Katanya, dia yang terkejut dengan kejadian itu kemudian menyoal siasat anaknya dan terkejut apabila diberitahu suspek adalah rakan sekampungnya berusia 28 dan 60 tahun yang juga kenalannya.

“Saya tidak menyangka mereka sanggup membuat perbuatan terkutuk itu terhadap anak saya sedangkan mereka tahu mangsa seorang OKU dan tidak berdaya menolak sekiranya diperlakukan apa-apa.

“Hanya Allah SWT tahu perasaan ini sebaik disahkan doktor anak hamil empat bulan sedangkan dia masih bersekolah di kelas pendidikan khas di sebuah sekolah menengah di sini kerana lembam.

“Sebaik mengetahui mengenai hal itu saya dan isteri menyoal siasat anak dan pada awalnya dia (anak) enggan mendedahkan, namun selepas dipujuk beberapa kali barulah dia menceritakan hal sebenar,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Ismail berkata, suspek dikatakan mengumpan anaknya itu beberapa kali dengan gula-gula dan wang bagi memuaskan nafsu di dalam kawasan semak di sekitar kampung.

Katanya, dia dan isteri hairan berikutan anaknya sering mengadu letih selain kelihatan tidak bermaya kemudian membawa mangsa ke HB untuk pemeriksaan.

“Selepas membuat ujian air kencing doktor mengesahkan anak hamil dan hingga kini sukar untuk kami mempercayainya kerana seorang suspek adalah warga emas yang cukup saya kenali.

“Selama ini saya menyangka dia (suspek) seorang yang baik hati dan boleh diharap untuk membantu menjaga anak ketika saya dan isteri keluar bekerja kerana mangsa ditinggalkan bersama adiknya berusia lapan tahun di rumah, manakala kakak serta abang mangsa ada yang sudah berkahwin.

“Kadangkala saya meminta bantuan dia (suspek) untuk menjaga anak berikutan rumahnya terletak kira-kira 300 meter dari rumah, namun tidak menyangka dia pula mengambil kesempatan semasa ketiadaan kami,” katanya.

Katanya, anaknya itu kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dijaga.

Timbalan Ketua Polis Baling Deputi Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian, manakala kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 6 petang, kelmarin di rumah mereka.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula kelmarin di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, manakala mangsa dirujuk ke HSAH untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Baling Shamsul Izrin Ishak berkata, mangsa akan diserahkan kepada pihak JKM Kuala Muda untuk diberi perlindungan sementara hingga kes berkenaan selesai.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");