Membawang Hari Ini

Dari filem ke novel, Damya Hanna teruja

SEJAK kebelakangan ini, menjadi suatu trend apabila penerbit dan pengarah cenderung untuk menerbitkan filem daripada adaptasi novel terkenal.

Namun berbeza kali ini, filem Langit Cinta yang bakal menemui penonton akhir tahun ini telah diadaptasi ke naskhah novel. Lebih menarik, filem yang diarahkan oleh Osman Ali ini bakal digarap oleh novelis terkenal, Damya Hanna.

Melahirkan rasa teruja apabila diberi kepercayaan pengarah tersohor, Damya berkata, adaptasi skrip filem ke novel adalah pengalaman baru bagi dirinya, namun ia bukan penghalang untuk menggarapnya ke bentuk novel kerana jalan cerita sudah tersedia.

Novelis berusia 33 tahun ini juga mengakui satu cabaran baru bagi dirinya untuk memanjangkan penceritaan daripada 90 muka surat kepada lebih kurang 500 muka surat novel.

“Sebelum ini jika saya menulis, saya bebas tulis apa sahaja idea sendiri, tetapi kali ini berbeza apabila idea dari Osman, saya hanya garap ke bentuk novel.

“Dari segi babak, saya ambil semua berdasarkan skrip, cuma saya ubah sedikit dialog untuk disesuaikan kerana dalam novel perlu ada kesinambungan. Misalnya satu minit babak wayang saya jadikan satu bab.

“Ketika penggambaran di Pulau Tuba, Langkawi juga saya turut ke sana bagi melihat sendiri suasana dan babak utama yang dijalankan di sana agar memudahkan proses penulisan novel,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Adaptasi Filem ke Novel Langit Cinta, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai watak dalam Langit Cinta pula, kata Damya, ia sememang sedikit mencabar apabila dia perlu mencipta watak dari idea orang lain, namun segalanya diatasi dengan baik.

“Saya akui agak sukar, namun saya tidak jadikan kesukaran itu sebagai satu alasan. Insya ALLAH, mungkin dalam waktu dua tiga bulan, novel ini akan diterbitkan iaitu sebelum filem ini ditayangkan. Tinggal 40 peratus lagi untuk disiapkan,” katanya.

Osman percaya kemampuan Damya

Sementara itu, Osman berkata, beliau sangat menyukai cara penulisan Damya Hanna dan pernah bekerjasama dengan penulis itu sebelum ini dan menyebabkan dia memilih novelis muda itu untuk menghasilkan novel Langit Cinta.

“Saya pernah baca novelnya seperti Bicara Hati dan Sepi Tanpa Cinta. Jalan cerita dan garapan yang menarik telah menarik minat saya untuk memilihnya sebagai penulis novel filem ini.

“Memang ini satu percubaan baru, sebelum ini adaptasi novel ke filem, namun kali ini saya mahu membuat kelainan dan berharap formula baru ini dapat diterima penonton dan peminat novel,” katanya.

Berkongsi mengenai penggambaran filem tersebut pula, Osman berkata, naskhah filem kali ini mempunyai beberapa cabaran, antaranya terhenti sembilan hari disebabkan faktor cuaca dan memanjangkan lagi tempoh penggambaran.

“Kami mula penggambaran ketika September tahun lalu, ketika itu cuaca di Pulau Tuba, Langkawi mengalami hujan dan ribut. Jabatan Laut juga memberi amaran kepada kami untuk tidak melakukan aktiviti berhampiran pantai ketika itu, justeru terpaksa terhenti beberapa hari.

“Namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk siapkan juga penggambaran itu, apabila cuaca kembali pulih, kami lakukan banyak babak dalam satu hari untuk segera disiapkan seperti disasarkan,” katanya.

Filem Langit Cinta dijayakan oleh Keith Foo, Fazura, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Datuk Jalaluddin Hasan, Farid Kamil dan Siti Saleha.

Diterbitkan oleh Astro Show bersama Alaf 21, filem ini mengisahkan percintaan antara dua darjat. Alif Zulkarnain (Keith Foo) yang berasal dari sebuah keluarga berada sanggup melepaskan segala-galanya demi cintanya terhadap seorang gadis desa, Khadijah (Fazura).

Namun, cinta suci mereka telah ditentang oleh keluarga Alif lalu memisahkan ikatan mereka sebagai suami isteri.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");