Sukan Hari Ini

Djokovic, Murray berdepan dua pemain generasi baru Australia

PARIS: Novak Djokovic dan Andy Murray melangkah ke pusingan ketiga Terbuka Perancis malam tadi bagi bertembung dengan dua pemain generasi baru Australia, Thanasi Kokkinakis dan Nick Kyrgios.

Tampil sebagai pemain pilihan utama, Djokovic terselamat daripada dibelenggu kecederaan untuk menang 6-1, 6-4, 6-4 ke atas Gilles Muller dari Luxemburg.

Djokovic akan bertemu pemain berusia 19 tahun, Kokkinakis yang mengejutkan rakan senegaranya, Bernard Tomic 3-6, 3-6, 6-3, 6-4, 8-6.

Kemenangan Djokovic ke atas Muller yang berusia 33 adalah kemenangan berturut-turut ke-24 untuk tahun ini, sekali gus merapati sasarannya untuk mendakap kali pertama kejuaraan di Roland Garros.

Bagaimanapun, dia diberi masa rawatan kecederaannya ketika mendahului 5-4 pada set kedua.

Kokkinakis pula yang melangkah ke Roland Garros menerusi ‘wildcard’ bangkit dari ketinggalan 2-5 di set penentuan untuk menewaskan Tomic yang juga pemain pilihan ke-27.

Murray yang tampil sebagai pemain pilihan ketiga turut diasak untuk permainan empat set sebelum menang 6-2, 4-6, 6-4, 6-1 ke atas Joao Sousa dari Portugal.

Pemain Scotland itu meneruskan rekod kemenangan 12-0 di gelanggang tanah liat musim ini dan akan bertemu pemain berusia 20 tahun, Kyrgios yang diberi laluan mudah di pusingan ketiga selepas Kyle Edmund dari Britain mengalami kecederaan di perut.

Juara bertahan yang juga pemain pilihan keenam, Rafael Nadal, tidak mempunyai masalah untuk menewaskan rakan senegara Nicolas Almagro 6-4, 6-3, 6-1.

Nadal akan bertemu Andrey Kuznetsov selepas pemain Russia itu menundukkan Jurgen Melzer dari Austria 6-1, 5-7, 7-6 (7/0), 7-5.

“Saya amat gembira. Saya bermain dengan baik dan mantap,” kata juara sembilan kali itu yang sudah menewaskan Almagro 13 kali daripada 14 pertembungan. – AFP/berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");