Membawang Hari Ini

Fathia perkenal single

Selain berbakat dalam bidang lakonan, tidak ramai tahu Fathia Latiff juga boleh menyanyi. Kemampuan vokalnya pernah dibuktikan ketika bergandingan dengan kekasihnya, Aiman Hakim Ridza melalui teater muzikal, Bidasari di Istana Budaya, tahun lalu.

Fathia juga membuat persembahan bersama Aiman pada malam kemuncak Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL 2015) baru-baru ini, menerusi lagu Kisah Kita nyanyian asal Sabhi Saddi dan Nieyl. Lagu itu juga OST untuk drama terbaru Fathia, Bencinta yang disiarkan di TV3.

Banyak juga syarikat rakaman mempelawanya merakamkan lagu tetapi selepas menjalani sesi perbincangan dan memperdengarkan vokal, tiada perkembangan lanjut diterima.

Akhirnya peluang itu datang dan peminat buat kali pertama akan mendengar suara Fathia mendendangkan single terbaru, Tak Pernah. Lagu ciptaan komposer baru, Amy Nawari itu bakal dijadikan runut bunyi drama bersiri terbaru lakonannya, Dia Isteri Luar Biasa untuk slot Akasia, TV3.

Ditemui baru-baru ini sewaktu menjalani rakaman bersama Adi Priyo Sambodo dan Amy, Fathia atau Nur Fathia Abdul Latiff berharap projek khas dilakukan demi drama Dia Isteri Luar Biasa akan menjadi titik permulaan untuknya mengejar cita-cita bergelar penyanyi.

Katanya, sebelum ini bukan tidak mahu menerima tawaran yang datang tetapi apabila difikirkan semula, dia bimbang apa yang dikejar tak dapat dan dikendong berciciran.

“Lagipun, sebelum ini tawaran datang pada saat saya sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri dan juga kuliah pengajian undang-undang.

“Saya juga memikirkan banyak sudut dan perkara untuk mengejar cita-cita bergelar penyanyi. Paling penting, mampukah saya melakukannya dan adakah peminat boleh menerima lagu didendangkan?

“Paling saya takut, dalam keadaan sedang sibuk dengan kerjaya lakonan dan belajar, saya tidak berupaya memberikan komitmen sekiranya saya menerima tawaran merakamkan lagu.

“Saya difahamkan, untuk menjadi penyanyi komitmennya tinggi terutama apabila seseorang penyanyi itu harus turun padang mempromosikan lagu yang dihasilkan,” katanya.

Begitupun sudah tertulis pintu rezekinya untuk bergelar penyanyi sentiasa terbuka apabila penerbit drama Dia Isteri Luar Biasa, Ziela Jalil mencadangkan dia dan pelakon utama drama terbabit, Shukri Yahya merakamkan lagu duet untuk dijadikan runut bunyi.

Kata Fathia, segalanya bermula apabila dia dan Amy sering menyanyi sambil bermain gitar apabila berada di lokasi drama.

“Amy yang bertugas sebagai penolong pengarah drama itu, berkebolehan mencipta lagu. Dia selalu meminta saya mendendangkan lagu yang dihasilkannya di lokasi.

“Waktu sama, dalam me­nyanyi itu Shukri turut ikut sama menyanyi dan tidak sangka dia juga boleh menyanyi dengan baik. Mendengarkan keserasian vokal kami dan lagu dihasilkan Amy sesuai untuk menjadi lagu latar drama Dia Isteri Luar Biasa, Ziela mencadangkan agar kami merakamkannya dan dijadikan ru­nut bunyi,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman pertama kali masuk studio dan bekerja dengan Adi, kata Fathia dia bertuah kerana diberi peluang itu.

“Selalunya saya hanya melihat dari jauh rakan-rakan yang menyanyi menjalani kerja rakaman. Tapi kali ini saya sendiri dapat merasainya. Seronok dan rasa tidak sabar pula mahu mendengarkan lagu didendangkan itu kepada umum.

“Bekerja dengan Adi juga seronok. Langsung tidak ada tekanan. Dia banyak mengajar saya dan Shukri sepanjang proses rakaman. Malah dia juga tidak lokek ilmu dan sedia membantu kami sebagai orang baru. Malah kami juga banyak berbincang,” katanya.

Fathia akui memang suka menyanyi sejak di sekolah lagi dan selalu mengambil bahagian dalam pertandingan menyanyi di Shah Alam.

Dia berharap usaha terbarunya ini disambut baik peminat dan penonton setia drama Dia Isteri Luar Biasa apabila disiarkan nanti bermula 18 Mei ini.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");