Berita Hari Ini

Harap Aswara kekal bawah Kementerian Pelancongan

KUALA LUMPUR – Penarafan baharu Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang dinaik taraf kepada status universiti diharap akan kekal di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Rektor Aswara, Prof Dr Hatta Azad Khan berkata, ini kerana ia dapat memudahkan perancangan dan kerjasama dengan agensi dalam bidang berkaitan seperti Istana Budaya serta Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan dalam usaha menjadi sebuah universiti.

“Perancangan menjadi sebuah univeristi harus mengekalkan Aswara di bawah kementerian berkaitan kebudayaan kerana banyak agensi berkait rapat dengan akademi dan aspek pembangunan industri seni lain sejak ditubuhkan 20 tahun lepas,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) berkata Aswara sebagai universiti akan menjadikan aktiviti kesenian akan terus mendapat galakan dalam usaha melahirkan karwayan dan penggiat seni yang berkaliber.

Berkuat kuasa 1 Ogos 2006, Aswara ditukarkan nama daripada Akademi Seni Kebangsaan, ASK yang ditubuhkan pada 1994.

Hatta berkata, penarafan baharu sebagai universiti juga mampu mengubah persepsi pelajar khususnya generasi muda tentang kesenian dan kebudayaan.

Beliau menyifatkan pengiktirafan itu merupakan dorongan kepada akademi untuk melahirkan lebih ramai penggiat seni tempatan.

“Kita berharap nama Aswara yang bertaraf universiti akan mengubah persepsi lebih ramai pelajar memilih Aswara menjadi pilihan pertama, bukan lagi pilihan kedua (dalam kalangan pelajar),” katanya.

Sambil melahirkan penghargaan kepada kerajaan, Hatta berkata Aswara kini mempunyai 700 pelajar dengan menawarkan lapan program diploma dan ijazah selain kursus ijazah sarjana dan Ijazah Sarjana (PhD).

“Sejak dua tahun lepas, Aswara menawarkan pengajian sarjana dan PhD dengan melahirkan 27 pelajar bagi kedua-dua pengajian itu,” katanya.

“Dengan keupayaan peringkat akademik serta pengurusan, saya percaya kedudukan Aswara dalam aspek pembangunan industri seni dapat dipertingkatkan dan proses pertukaran nama kepada universiti akan berjalan lancar,” kata Hatta.

Sementara itu, seorang pengarah teater Lukman Ghani turut menyambut baik penarafan itu bertepatan dengan masanya sebuah universiti pengkhususan seni diwujudkan di negara ini.

“Universiti ini (Aswara) dapat mewujudkan satu saluran khusus melahirkan pelajar sebagai penggiat seni yang kukuh selain mengangkat martabat anak-anak seni ke tahap lebih tinggi,” katanya yang berpengalaman dalam bidang seni teater lebih 20 tahun.

Menurutnya, penarafan Aswara sebagai universiti itu juga bakal menjadikan penganjuran kegiatan kesenian yang lebih tersusun dan terancang pada masa depan. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");