Sukan Hari Ini

Hari penentuan Newcastle, Hull City

LONDON – Pengurus Hull City, Steve Bruce mahu mencetuskan suasana panik dalam pasukan Newcastle United dengan meledak gol awal apabila menentang Manchester United pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris yang bakal menjadi penentu hidup mati The Tigers, hari ini.

Newcastle akan kekal dalam Liga Perdana jika mengalahkan West Ham di tempat sendiri, namun mereka bakal tersingkir seandainya tewas dan Hull pula melakar kejutan ke atas United di Stadium KC.

Keputusan seri buat Newcastle juga tidak memadai sekiranya Hull mencatat kemenangan kerana lawan mereka mempunyai rekod perbezaan gol yang lebih baik iaitu -18, berbanding -25 yang dicatat The Toon.

Newcastle kini memiliki ke­lebihan dua mata di depan Hull selepas mengumpul 36 mata daripada 37 perlawanan.

Mereka wajib menang ke atas West Ham jika mahu kekal bersaing dalam kancah liga utama tanpa mengambil peduli apa keputusan yang dialami Hull.

Bagaimanapun Bruce yang merupakan penyokong setia Newcastle ketika zaman mudanya yakin Hull mampu menjadi tembok penghalang buat The Toon, sekali gus kekal bersaing dalam Liga Perdana musim depan.

“Kalau kami mampu mencetak gol awal, sudah tentu tekanan akan dirasai oleh Newcastle yang beraksi serentak di tempat mereka.

“Jadi, strategi kami adalah mencari gol seawal mungkin biarpun kami sedar hendak mengalahkan Manchester United bukan tugas mudah.

“Apa pun, saya tetap yakin, ja­ringan awal mampu membawa perbezaan dan kami akan berusaha membolosi gawang lawan sebaik saja wisel permainan ditiupkan,” kata Bruce.

Bruce bagaimanapun tidak pernah menewaskan bekas pasukannya, United sepanjang 17 tahun bergelar pengurus pasukan. Hull juga kalah dalam tiga perlawanan terakhir mereka, namun apa yang melegakan anak-anak buah Bruce, Newcastle pula turun ke padang bersama rekod lebih teruk, tewas sembilan daripada 10 perlawanan terakhir.

Bruce yang membawa Hull mara ke final Piala FA dan layak ke Liga Europa tahun lalu bagaimanapun tidak menafikan, Newcastle adalah pasukan pilihan berbanding The Tigers. – AGENSI – http://www.utusan.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");