Membawang Hari Ini

Jalinan kerjasama CCIG-PGA

KANDUNGAN kreatif yang turut meliputi industri perfileman tempatan adalah salah satu bidang yang disenaraikan dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Menyedari kepentingan sumbangan bidang ini kepada ekonomi negara, industri seni sepakat menubuhkan Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG) pada 23 Ogos 2011 dengan misi dan visi tersendiri.

Meskipun industri berdepan dengan lambakan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kewujudan CCIG tidak hanya tertumpu kepada satu-satu bidang sahaja, malah kesemua kelompok tenaga kerja diberi perhatian sama rata.

Bukan sahaja di kalangan artis, malah CCIG turut memberi perhatian kepada setiap kelompok pekerja seni dari akar umbi termasuk pekerja belakang tabir, kru, penulis skrip, pengusaha filem dan drama serta penerbit.

Memberi mandat kepada Jurey Latiff Rosli sebagai pengerusi, CCIG diterajui 14 Ahli Majlis Kerja tidak terhad kepada bidang perfileman semata-mata, sebaliknya ia terbuka kepada bidang-bidang seni kreatif lain seperti televisyen, audio, muzik, pengiklanan, animasi, media interaktif dan pekerja di belakang tabir.

Setelah lebih tiga tahun ditubuhkan, akhirnya CCIG berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui hasil kerjasama dengan Producers Guild of America (PGA).

Menurut Jurey, kerjasama yang dibina bersama PGA ini merupakan laluan dan platform baharu buat pengamal industri seni untuk terus bersaing di peringkat global.

“Kerjasama antara CCIG dan PGA ini dilihat membuka ruang dan peluang kerjasama, perkongsian idea di peringkat antarabangsa dan maklumat penghasilan projek filem, televisyen serta digital.

“Dengan platform ini, kita dapat memperlihatkan kepada mata dunia bahawa pengamal industri kreatif di Malaysia juga mempunyai kepakaran yang tersendiri dan mampu diperkembangkan di peringkat global.

“Sebagai platform dalam memperkenalkan pengamal industri kreatif tempatan ini ke peringkat dunia, CCIG turut menyediakan bantuan dana atau geran daripada kerajaan yang diperakui Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya ketika majlis pelancaran portal laman sesawang CCIG, Selasa lalu.

Majlis yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman, itu juga turut dihadiri wakil industri termasuk, Zed Zaidi, Datuk Tarmimi Siregar, Datuk Yusof Haslam, Othman Hafsham, Yusof Kelana, Aziz M Osman dan Normah Damanhuri.

Selain PGA, CCIG juga turut menjalinkan kerjasama bersama NGO antarabangsa, iaitu South Africa’s Independent Producers Organization (IPO).

Manfaat menyeluruh kepada ahli

Sejak ditubuhkan sehingga kini, lebih 6,000 pengamal seni telah berdaftar dengan CCIG dan 600 daripada mereka merupakan ahli bertauliah.

Menurut Jurey, walaupun tiada paksaan daripada CCIG untuk pengamal industri mendaftar sebagai ahli, namun diharapkan bilangan itu terus meningkat dari masa ke semasa kerana manfaatnya adalah kepada setiap individu itu sendiri.

“CCIG tidak memaksa untuk penggiat seni mendaftar, namun banyak faedah yang boleh didapati apabila bergelar ahli. Menerusi laman sesawang ini, CCIG turut menyediakan pangkalan data sumber manusia khusus yang menyimpan maklumat pengamal industri kreatif tempatan termasuk latar belakang, pengalaman, pendidikan mahupun data peribadi.

“Ini akan memudahkan pihak lain yang mahu bekerjasama dengan mana-mana ahli yang berdaftar. Mana-mana pihak yang ingin bekerjasama akan terus berhubung dengan ahli yang mereka mahukan,” katanya yang telah merangka Pelan Tindakan CCIG untuk dibentangkan kepada Finas dalam tempoh terdekat ini.

Selain itu, Jurey memberitahu CCIG bersama Finas akan memeterai kerjasama dengan Creative Skillset United Kingdom (UK) pada Julai nanti setelah beberapa persetujuan telah dicapai.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");