Berita Hari Ini

Kelantan tanggung GST dikenakan PBT

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menanggung kos Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sepatutnya ditanggung oleh pengguna ketika mendapatkan perkhidmatan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, berikutan itu, kira-kira RM2.4 juta ditanggung kerajaan negeri dalam tempoh setahun dan kemungkinan ia akan bertambah, bergantung kepada peningkatan kos perkhidmatan.

Menurutnya, tanggungan itu berkuat kuasa serta-merta dan ia bermakna kerajaan tidak mengenakan cas GST terhadap beberapa perkara yang dikaitkan dengan perkhidmatan disediakan PBT.

“Cas GST yang dikenakan PBT menjadi isu dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, dengan mengambil kira semua perkara dan bagi meringankan bebanan kepada orang ramai, kerajaan bersetuju menyerap semua cas tersebut.

“Ini tanda keprihatinan kerajaan terhadap bebanan yang ditanggung orang ramai. Ia juga termasuk perkhidmatan diberikan PBT kepada masyarakat,” katanya kepada media ketika mengumumkan berita baik tersebut selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darul Naim, semalam.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, cas GST yang ditanggung itu melibatkan kira-kira 10 perkhidmatan disediakan oleh PBT.

Menurutnya, antaranya ialah bayaran perkhidmatan pemprosesan, bayaran komisen atau perkhidmatan, perolehan daripada jualan barang, sewa pajakan pasar, sewaan jentera dan alat perabot serta kelengkapan.

“Sebagai contoh, kos GST sewaan atau pajakan kenderaan dengan PBT, juga kerajaan akan tanggung dan mereka hanya membayar jumlah menyewa sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Fattah turut mengumumkan Urus setia Belia dan Sukan bersetuju melanjutkan tarikh tutup pencalonan dan mengubah waktu berlangsungnya Majlis Penganugerahan Tokoh Anak Muda Kelantan 2015.

Menurutnya, tarikh tutup penyertaan baharu ialah pada 23 Julai 2015.

“Majlis berkenaan akan diadakan pada 13 Ogos ini di Balai Islam,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");