Berita Hari Ini

Kerajaan teruskan pengurusan buangan terjadual

ALOR GAJAH – Kerajaan akan meneruskan pengurusan buangan terjadual melalui Pelan Strategik Pengurusan Buangan Terjadual Pasca 2015 yang bermula Januari lepas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel berkata, pelan berkenaan bertujuan memberi panduan tadbir urus kepada Jabatan Alam Sekitar dan semua pihak berkepentingan dalam pengurusan buangan terjadual secara lebih efektif dan selaras.

“Pelan berkenaan menggariskan hala tuju pengurusan buangan terjadual berdasarkan konsep baharu iaitu ‘cradle to cradle’ dan ‘waste to wealth’.

“Saya menyeru supaya pengeluar buangan khususnya sektor industri memainkan peranan yang lebih proaktif bersama agensi kerajaan termasuk Jabatan Alam Sekitar bagi memudah cara pelaksanaan pelan ini demi memulihara alam sekitar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran penubuhan Pusat Kecemerlangan Pengurusan Bahan Berbahaya dan Industri Hijau di Taboh Naning di sini, hari ini.

Beliau berkata pelan yang menggariskan lapan strategi yang menjadi asas pengurusan buangan terjadual termasuk memperkasa dasar dan perundangan pengurusan buangan terjadual negara itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula tahun hadapan.

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif tersebut bertujuan memperkukuhkan pelaksanaan 4R iaitu (pengurangan, guna semula, kitar semula dan pulih semula) selaras dengan matlamat menjadikan sektor buangan lebih kompetitif dan berupaya menjana ekonomi negara.

Katanya melalui pelan berkenaan kira-kira 30 peratus daripada jangkaan 3 juta tan metrik pengeluaran buangan terjadual dapat dikurangkan dalam tempoh masa pelaksanaannya.

Sementara itu, Palanivel berkata penubuhan Pusat Kecemerlangan Pengurusan Bahan Berbahaya dan Industri Hijau itu berperanan sebagai pusat rujukan pihak industri, pelabur dan pelajar dalam mendalami pengurusan buangan terjadual dan teknologi yang diguna pakai pada masa kini.

“Pusat ini merupakan titik permulaan jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan bagi mendukung hasrat kerajaan dalam pelaksanaan pelan berkenaan,” katanya.

Pusat Kecemerlangan Pengurusan Bahan Berbahaya dan Industri Hijau itu pada asalnya merupakan Pusat Pengujian Asap Kenderaan Bermotor bagi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Sdn Bhd antara 2010 hingga 2013. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");