Jenayah

Kereta terbabas masuk kedai

BAGAN SERAI – Sebuah kereta terbabas dan merempuh premis menjual tiket bas ekspres di Jalan Besar berhadapan Masjid Jamek Bagan Serai, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, pemilik premis, Beh Choon Pah, 62, bersama ahli keluarganya yang sedang menonton televisyen lari menyelamatkan diri sejurus mendengar bunyi dentuman kuat di pintu utama premis mereka.

Menurutnya, dia bertindak mengarahkan ahli keluarga lain bersembunyi sementara dia memberanikan diri mengintai dari celah-celah pintu jeriji yang berkunci berikutan bimbang premisnya cuba dipecah masuk penjenayah.

“Pada awalnya saya anggap ada pencuri mahu masuk ke premis ini.

“Namun setelah diintai dari celah pintu pagar, kelihatan sebuah kereta tersadai di pintu utama,” katanya kepada media di sini semalam.

Choon Pah berkata, dia juga melihat seorang lelaki keluar dari bahagian penumpang hadapan kereta itu dalam keadaan berdarah dan cuba membantu mengeluarkan pemandu dan dua kanak-kanak yang masih terperangkap di dalam kereta itu.

Melihat keadaan itu, dia segera keluar dan membantu tiga mangsa yang terperangkap dengan bantuan orang awam.

“Sebaik dikeluarkan, pemandu wanita dan dua kanak-kanak itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kesemua berada dalam keadaan bingung.

“Lelaki berdarah yang dipercayai suami kepada wanita itu dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bagan Serai setelah mengalami kecederaan pada bahagian kepala,” katanya.

Choon Pah berkata, pemandu wanita itu menceritakan kenderaan jenis Hyundai Accent yang dinaiki mereka hilang kawalan secara mengejut sewaktu melalui kawasan berkenaan seterusnya merempuh sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan premisnya.

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas sehingga menyebabkan mangsa tidak dapat menekan brek bagi mengelakkan kenderaan itu merempuh premisnya.

“Akibat kejadian itu saya mengalami kerugian hampir RM1,000 berikutan besi pintu pagar premis rosak dan tidak dapat digunakan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacon ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan menegaskan siasatan masih dijalankan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");