Sukan Hari Ini

Khidmat Beng Hai terus dipercayai

TINGGAL 25 hari sahaja lagi, skuad hoki negara bakal berdepan laluan getir dalam saingan pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia 2015 bagi merebut slot ke Sukan Olimpik Rio di Brazil, tahun depan.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan B bakal berdepan pesaing iaitu skuad tuan rumah, Belgium, Ireland, China dan Great Britain sementara Kumpulan A pula dihuni Australia, India, Poland, Perancis dan Pakistan.

Dilihat daripada pesaing The Speedy Tigers, sudah tentu laluan bakal hadapi bukan mudah.

Perlu diingat, hanya empat pasukan terbaik, iaitu pasukan yang melangkah ke pusingan separuh akhir sahaja yang mampu meraih tiket ke Sukan Olimpik Rio.

Sebelum ini, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meletakkan sasaran wajib untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, namun pucuk pimpinan baharu MCH yang diketuai oleh Datuk Seri Subahan Kamal, mempunyai sasaran untuk layak ke Sukan Olimpik seterusnya iaitu di Tokyo pada 2020.

Bagi Subahan, jika pasukan negara mampu melayakkan diri tahun hadapan, ia merupakan satu bonus.

Kali terakhir skuad hoki negara layak beraksi dalam temasya sukan terbesar dunia itu adalah di Sydney, Australia pada 2000.

Gandingan Beng Hai, Nor Saiful

MENYEDARI peluang sudah terbuka luas, Subahan yang mengambil alih jawatan Presiden daripada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu perjuangan Speedy Tigers diteruskan.

Tidak mahu mengganggu persiapan Speedy Tigers, Subahan terus melantik Tai Beng Hai mengetuai misi besar skuad hoki negara untuk memburu tiket Sukan Olimpik kali pertama selepas 15 tahun.

Sebelum ini, Beng Hai menggalas tugas jurulatih sementara.

Beng Hai menggantikan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang direhatkan sebaik tamat Sukan Komanwel Glasgow berikutan aksi hambar skuad hoki kebangsaan.

“Saya tidak mahu mengganggu skuad hoki negara yang berdepan misi berat dalam pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, Jun nanti.

“Apa yang saya lakukan hanya ingin memantapkan pasukan hoki kita. Keputusan ini adalah keputusan bersama selepas mendapat pandangan daripada semua termasuk pemain,” kata Subahan.

Bagi memperkasakan lagi skuad hoki negara, bekas pemain kebangsaan yang juga Ketua Jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin dilantik pembantu Beng Hai.

Beng Hai dan Nor Saiful sebelum ini pernah berganding memimpin skuad negara menghadapi Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Asia 2009, selain pusingan kelayakan Sukan Olimpik London di Dublin, Ireland pada 2000.

“Nor Saiful adalah pilihan terbaik yang kita ada..saya meletakkan keyakinan kepadanya dan semua pihak termasuk jurulatih serta pemain menerima keputusan ini dengan hati terbuka,” kata Subahan.

Manakala Stephen Van Huizen yang sebelum ini menjadi pembantu Beng Hai dilantik Pengurus Pasukan, menggantikan Datuk Nur Azmi Ahmad yang melepaskan jawatan selepas tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden, baru-baru ini.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");