Membawang Hari Ini

Kini sibuk dengan kedai jahit

LAGU Nasi Dagang sinonim dengan Rosemaria Abdul Hamid yang mula dikenali pada akhir 1970-an selepas menjuarai Bintang RTM 1977.

Malah, lagu yang dirakam pada awal 1980-an itu menjadi lagu wajib untuk promosi makanan tradisional negeri pantai timur oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Kini selepas hampir 40 tahun, Rosemaria yang menetap di negeri kelahirannya di Kelantan sejak 1988 tetap tidak meninggalkan dunia nyanyian.

Peluang bertemu Rosemaria, 59, pada majlis Sambutan 50 Tahun EMI Malaysia baru-baru ini, dia tidak banyak berbeza ketika zaman kegemilangannya dulu.

Walaupun wajahnya jarang muncul di televisyen, Rosemaria masih menyanyi tetapi keutamaannya kini keluarga dan sibuk menjadi tukang jahit.

“Pada masa ini saya menjalankan perniagaan mengambil upah menjahit sepenuh masa. Sebenarnya saya mengambil upah menjahit sejak berkahwin pada 1989 sehingga kini.

“Selepas berkahwin, saya pulang ke kampung halaman di Kota Bharu dan mula mengurangkan aktiviti menyanyi,” katanya.

Bidang jahitan sebenarnya menjadi sebahagian daripada bakat turun temurun yang diwarisi daripada ibunya.

Malah, pada usia 17 tahun, dia mula mengambil upah menjahit membantu ibunya bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Peristiwa banjir melanda Pantai Timur, hujung tahun lalu, turut menjejaskan perniagaannya apabila rumahnya di Kota Bharu dinaiki air paras pinggang.

Lebih teruk lagi, dia tiada di rumah ketika kejadian, menyebabkan peralatan menjahit dan almari menyimpan kain dan baju pelanggan rosak teruk.

“Saya terpaksa membuang semuanya kerana tidak boleh dipakai lagi. Semuanya diselaputi lumpur sungai,” katanya sedih.

Walaupun dilanda ujian dan kerugian ribuan ringgit, Rosemaria tetap cekal dan bangkit kembali untuk meneruskan kerjayanya sebagai tukang jahit. Katanya, dia membeli mesin jahit terpakai kerana belum mampu membeli mesin jahit baru.

Rosemaria kini sibuk memenuhi tempahan untuk hari raya yang semakin dekat.

Katanya, sesekali ada juga menerima jemputan nyanyian, termasuk di Singapura.

Katanya, jemputan nyanyian lebih kepada persembahan tertutup dan makan malam anjuran syarikat tertentu saja.

“Saya bersyukur kerana masih ada yang mengingati dan menjemput saya membuat persembahan. Padahal, saya menetap di Kelantan, bukan lagi di Kuala Lumpur.

“Malah, apabila EMI dan Universal Music Malaysia menerbitkan album 100 Lagu-lagu Popular Pilihan DJ Chuari Selamat, siri 24-Bit Mastering dan kompilasi Nostalgia Aku, Kau dan & Dia, ia satu penghormatan buat saya apabila lagu nyanyian saya turut diselitkan dalam album itu,” katanya.

Pernah mengikut Anita Sarawak sebagai penyanyi dan penari latar satu ketika dulu, Rosemaria mencuba nasib menyertai Bintang RTM bermula pada 1975 dan layak ke peringkat separuh akhir, kemudian 1996 dan percubaan ketiga dijulang sebagai juara.

Rosemaria merakam album Kisah Kasih pada 1979, kemudian Dalam Mengenangmu (1980) dan kali terakhir pada 1981 menerusi album Kisah Masa Lalu. Pada 1988, Rosemaria menetap di Kelantan.

Ibu enam anak ini akui tidak seorang pun daripada mereka mengikut jejak langkahnya walaupun boleh menyanyi.

“Mereka memang boleh menyanyi tapi apabila disuruh masuk pertandingan, menolak. Saya tidak boleh paksa mereka ikut jejak langkah saya kerana itu pilihan mereka.

“Sebagai ibu, saya terima pilihan itu dan sokong apa saja kehendak mereka, asalkan ia membawa kebaikan pada diri mereka dan keluarga,” katanya.

Rosemaria turut terharu kerana masih ada anak muda yang me­ngenalinya sebagai penyanyi biarpun jarang keluar televisyen atau surat khabar.

Katanya, laman sosial seperti Facebook banyak membantu, malah kebanyakan tawaran menyanyi datang daripada penganjur yang melakukan carian namanya di laman itu.

“Pelik juga apabila saya mendapat jemputan ke acara Sambutan 50 Tahun EMI Malaysia daripada Facebook. Walhal pihak mereka boleh saja mendapatkan nombor telefon saya di RTM.

“Namun, itulah bagusnya ada Facebook. Selagi masih menggunakan nama yang orang kenal, mudah untuk kita mencari tuan punya badan,” katanya ketawa.

Selain lagu popularnya seperti Dalam Mengenangmu, Cinta Mu Yang Menyayat Hati dan Kisah Kisah Masa Lalu, suaranya akan berkumandang setiap kali Aidilfitri menyanyikan lagu Di Pagi Aidilfitri yang juga antara lagu raya malar segar dan sentiasa menjadi permintaan ramai.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");