Berita Hari Ini

KKM cadang naik taraf Hospital Banting

KUALA LANGAT – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang menaik taraf dan menambah infrastruktur di Hospital Banting di sini berikutan keadaan bangunan yang usang dan kekurangan fasiliti sedia ada.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan memandangkan jumlah katil terutamanya di wad kanak-kanak sangat terhad sehingga menyebabkan kesesakan pesakit.

Namun, katanya, perkara itu masih dalam perbincangan dan pihak hospital diminta menyenarai pendek jenis penambahbaikan yang mesti diberi keutamaan.

“Kawasan hospital ini masih luas dan dilihat boleh ditambah beberapa bangunan baharu bagi menampung perkhidmatan pada bangunan sedia ada yang sudah lebih 40 tahun.

“KKM akan bantu untuk selesaikan kekurangan yang dihadapi hospital ini pada masa depan, namun bergantung kepada peruntukan yang diberi kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah 2015 anjuran hospital itu di sini, hari ini.

Dr Hilmi berkata setakat ini, KKM telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada hospital itu bagi pembinaan kompleks dewan bedah baharu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Hospital Banting merupakan sebuah hospital kluster bagi Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang dan Hospital Shah Alam yang dilengkapi 153 katil dengan enam kategori kepakaran.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi menggalakkan lebih ramai doktor pakar menyertai perkhidmatan awam memandangkan bilangan golongan tersebut di hospital kerajaan masih tidak mencukupi.

Katanya sehingga kini hanya kira-kira 4,000 doktor pakar sedang berkhidmat dengan kerajaan dalam pelbagai kepakaran. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");