Sukan Hari Ini

Lions tekad ulangi magis

SIAPA sangka, Lions XII yang dibarisi tanpa kudrat awang import berupaya melangkah ke pentas final Piala FA edisi ke-26 selepas mengatasi Terengganu pada aksi separuh akhir penuh kontroversi, Sabtu lalu.

Enggan menoleh ke belakang, kini anak didik Fandi Ahmad tidak rela kejuaraan yang hampir dalam genggaman terlepas begitu sahaja apabila bakal bertemu pasukan pilihan, Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Sedar The Red Warriors (TRW) memikul harapan jutaan rakyat Malaysia, Lions bersedia memasang perangkap sekali gus memastikan kejuaraan trofi Piala FA dapat di bawa menyeberangi Tambak Johor pada keesokannya harinya.

Ini kerana, Piala Liga Super sudah ditawan pada 2013 dan itu menjadi azimat pemain Lions berjuang bersungguh-sungguh mendapatkan mahkota kali kedua sejak menyertai Liga Malaysia pada 2012.

Ikut arahan Fandi

Saingan Piala FA adalah final dan tiada aksi ulangan. Jadi, pemain Lions harus memanfaatkan setiap saat semasa beraksi atas padang. Musuh mereka bukan hanya 11 pemain Kelantan yang diturunkan Azraai Khor Abdullah, tetapi pemain ke-12 TRW.

Gelombang Merah dijangka menguasai Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kerana difahamkan hanya 3,000 keping tiket dipohon Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Disinilah pentingnya, pemain Lions menyerap tekanan dan menuruti segala arahan dan perancangan taktikal Fandi.

Menurut penjaga gawangnya, Izwan Mahbud, persiapan mereka seperti biasa tetapi katanya, Fandi lebih menumpukan aspek meningkatkan kecergasan pemain.

Katanya lagi, dia dan rakan-rakan sudah tidak sabar menguji padang SNBJ buat pertama kali khususnya bagi aksi final penuh berprestij itu nanti.

Madhu sedia kekang

Benteng Lions musim ini tidaklah sekebal mana kerana banyak melepaskan gol dalam saingan Liga Super dan Piala FA.

Tetapi, pada pandangan pemain pertahanannya, Madhu Mohana, dia optimis menyekat serangan TRW yang mungkin diketuai Erwin Carrillo dan Gilmar Dos Santos Filho.

Menurut Madhu, gandingan bersama Zulfahmi Ariffin akan mengukuhkan benteng Lions dalam usah mengekang serangan menggila lawan yang menerima sokongan oadu hampir kira-kira 80,000 peminat TRW.

Malah, tanpa mendabik dada, dia menegaskan sudah mengenali corak permainan Kelantan dan tahu menghalang penyerang TRW bermaharajalela dalam kawasan kotak penalti.

Untuk rekod, Lions pernah tewas 0-2 di tangan lawan sama semasa saingan domestik pada 15 Februari lalu tetapi bagi Madhu itu bukan ukuran kerana katanya aksi atas padang penentu kejayaan.

Khairul Amri senjata Lions

Ledakan dua gol Khairul Amri Mohd Kamal ke gawang Terengganu membuktikan anak jati Pulau Temasik cukup berbahaya di depan jaring lawan.

Dia juga cukup bernafsu dan berkobar-kobar membantu pasukan tanah tumpah kelahirannya itu menjulang Piala FA buat pertama kali dalam sejarah negaranya.

Malah, satu ketika dahulu, penyertaan Singapura pun gagal melaksanakannya sebelum mengambil keputusan keluar daripada Liga Malaysia pada 1995.

Bagi rekod, Khairul Amri yang sudah menghasilkan lima gol dalam saingan berkenaan musim ini sebenarnya tidak keseorangan merobohkan benteng TRW.

Ini kerana, adiknya, Mohd Khairul Nizam juga boleh diharap dan dilihat lebih gemar menjaringkan gol menerusi serangan balas pantas dilakukan pasukannya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");