Jenayah

Maut kereta meletup, terbakar

TAIPING – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta Perodua Myvi dipandunya tiba-tiba meletup dan terbakar dalam satu kejadian yang berlaku di hadapan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tupai, di sini, kelmarin.

Mangsa, Hasfarizal Fahim, 29, yang bekerja sebagai pemandu lori sejak setahun lalu disahkan meninggal dunia di Hospital Taiping, awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Ismail Che Isa berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa dipercayai ingin pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

Menurutnya, kereta berkenaan meletup dan terbakar secara tiba-tiba sejurus mangsa masuk ke dalam kenderaannya itu.

“Mangsa yang terperangkap dalam kereta tersebut bagaimanapun telah diselamatkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada jam 2.45 pagi.

“Proses bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa meninggal dunia akibat terbakar hampir 90 peratus anggota badan,” katanya.

Ismail berkata, sehingga kini pihak polis masih lagi menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur khianat dan jenayah dalam kes ini.

“Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Penguasa Hasna Rashid berkata, sebaik mendapat panggilan kecemasan pihaknya segera menghantar dua jentera bagi menjalankan operasi menyelamat dan memadam kebakaran.

“Kita berjaya memadam kebakaran, bagaimanapun hampir keseluruhan kereta terbakar,” katanya.

Bapa mangsa, Fahim Sallehuddin, 57, berkata, Hasfarizal adalah anak kedua daripada lima beradik.

“Arwah adalah anak lelaki tunggal dalam keluarga dan dia masih belum berkahwin.

“Anak saya baru setahun bekerja di sini dan sebelum ini dia bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");