Jenayah

Memandu lawan arus elak ditahan

KOTA BHARU – Dua penjenayah sanggup melarikan diri sejauh lima kilometer dari Wakaf Bharu, Tumpat ke Kota Bharu, walaupun dikepung polis sehingga sanggup membahayakan diri memandu kereta dalam keadaan melawan arus.

Suspek yang menaiki kereta Perodua Viva itu juga sanggup berpatah balik ke Tumpat bagi mengelak dicekup polis dalam kejadian, kira-kira jam 5 pagi, semalam.

Mereka dipercayai terlibat jenayah peras ugut bersama tiga lagi lelaki dan melarikan motosikal milik seorang bekas pelajar sekolah agama di hadapan sebuah sekolah di Kadok, di sini, petang kelmarin.

Suspek berjaya dikesan unit peronda ketika melakukan rondaan di bulatan Wakaf Bharu, namun bertindak agresif ketika diminta memberhentikan kenderaan dengan memecut laju ke arah Kota Bharu.

Dalam keadaan cemas itu, suspek turut melanggar lampu isyarat merah dan melarikan diri ke Lundang. Polis mengekori mereka hingga ke Kubang Kerian hala ke Pasir Tumboh.

Walaupun menyedari diekori, suspek masih berdegil, malah nekad memandu melawan arus tanpa memikirkan keselamatan diri dan orang awam di kawasan terbabit.

Namun mereka akhirnya tumpas selepas kenderaan dinaiki terbabas di Kota Kubang Labu, Tumpat berhampiran kedai perabot di Jalan Wakaf Bharu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Setapa Yusoff yang mengesahkan menerima laporan keja-dian berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui sebatang besi warna hitam di sebelah kerusi pemandu.

“Kereta dan besi itu kita rampas untuk siasatan lanjut. Kita percaya mereka terlibat dalam kejadian melarikan motosikal melibatkan lima suspek di Kadok.

“Dua remaja terbabit berusia lingkungan 20-an, ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu (IPD) untuk siasatan,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian kelmarin, lima suspek terbabit terlibat dalam kes pemerasan dan melarikan motosikal jenis Yamaha 125 ZR, menyebabkan mangsa terpaksa menanggung kerugian RM5,200.

“Kita masih giat memburu tiga lagi suspek dan yakin dapat menangkap mereka dalam masa terdekat,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");