Membawang Hari Ini

Nafi jalani rawatan kesuburan

Diam tak diam, usia kandungan pelakon Erin Malek, 21, menjangkau empat bulan. Lebih manis, Erin dan suami, Farriz Fauzy, 30, bakal menyambut kelahiran bayi kembar.

Berita gembira itu diketahui peminat awal Mac lalu apabila gambar imbasan kandungan Erin disebarkan di laman sosial.

Pun begitu, di sebalik kegembiraan, ada cerita kurang enak didengar apabila Erin yang berkahwin pada 10 Oktober 2014 didakwa menjalani proses rawatan kesuburan di luar negara untuk mendapatkan anak kembar.

Ditemui pada majlis suai kenal syarikat pengurusan artis ParanormalMy, Erin atau Nur Arina Abdul Malek yang kini berada di bawah naungan syarikat berkenaan menafikan dakwaan itu.

Katanya, dia disahkan mengandung apabila pulang dari berbulan madu buat kali kedua di London.

“Kami baru beberapa bulan berkahwin. Biasalah, mulut orang akan cakap apa saja, sama ada buat perkara baik, apatah lagi kalau benda buruk. Saya malas mahu jadikan isu atau ‘stress’ diri sendiri apabila hal ini berlaku.

“Pada awal berita saya disahkan mengandung dan foto imbasan kehamilan tersebar, saya marah juga dengan individu yang menyebarkan foto itu kepada umum. Bagaimanapun, saya sudah maafkan individu itu,” katanya.

Kata Erin, kemungkinan dia mengandung anak kembar kerana faktor genetik pada keluarganya dan suami.

Apa yang penting, katanya, saat ini dia mahu fokus kepada penjagaan kandungan dan sentiasa berfikir positif. Erin juga akui seperti bakal ibu lainnya, dia mengalami alahan teruk sehingga 12 minggu pertama kehamilan.

“Apa saja saya makan akan muntah semula dan hanya boleh makan buah, tapi itu pun paksa juga diri untuk makan sebab kalau tidak, saya tiada tenaga.

“Syukur kerana selepas 12 minggu, saya kembali pulih dan boleh menikmati makanan seperti biasa. Cuma kerana saya tidak suka makan sayur, doktor nasihatkan saya mengambil vitamin tambahan,” katanya.

Pelakon yang popular melalui Misiku Kuza itu mengatakan, sampai saat ini mereka belum membuat persiapan dari segi kelengkapan bayi.

Katanya, peringkat ini masih dianggap awal untuk membuat persiapan. Dia dan suami juga tidak mahu membazir kerana sedar peringkat bayi adalah tempoh mereka cepat membesar.

Pun begitu, Erin membuat beberapa senarai penting persiapan yang perlu ada. Setakat ini, dia dan suami banyak melakukan pembacaan mengenai penjagaan tempoh kehamilan dan selepas kelahiran untuk rujukan.

Erin juga bersyukur kerana bakal bergelar ibu pada usia muda. Di saat rakan sebaya masih berseronok dengan kehidupan solo tanpa komitmen besar, Erin sebaliknya.

Anak sulung daripada tiga beradik ini tidak merasakan hal itu sebagai isu kerana sekurang-kurangnya bakal memiliki anak sendiri dan dapat melihat mereka membesar saat tubuhnya masih sihat dan bertenaga.

Pun begitu, Erin akui tetap rindukan dunia lakonan kerana sudah lama tidak turut ke lokasi penggambaran. Setiap kali melihat orang lain berlakon di televisyen, hatinya turut memberontak.

“Bukan tidak ada tawaran, cuma apabila difikirkan saya berbadan dua, saya tidak mahu menyusahkan pihak produksi. Apatah lagi sejak me­ngandung, saya cepat penat,” katanya.

Apabila bergelar ibu, tidak bermakna Erin mahu melupakan dunia lakonan. Katanya, dia berhasrat kembali ke set penggambaran apabila segala urusan rumah tangga dan anak diselesaikan dengan sempurna.

Malah, dia juga tidak menolak jika ada tawaran buat anaknya kelak bergelar duta produk bayi atau seumpamanya kerana menganggap ia sebahagian daripada rezeki.

Kali terakhir Juara Fear Factor Malaysia Musim ke-2 ini tampil dalam filem ialah melalui filem MTB: Misi Tawan Baby, tahun lalu.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");