Jenayah

OKU maut dilanggar lori

MENGKARAK – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut dilanggar lori di KM 23, Jalan Temerloh/Bahau, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zul Haizal Zainal Abidin berkata, mangsa, Abdul Kamar Jamain Ibrahim, 47 meninggal di lokasi kejadian berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa yang sedang berjalan kaki itu dilanggar lori terbabit selepas tayar depan sebelah kiri tercabut dari rim.

“Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori tanpa muatan itu yang dalam perjalanan dari Bahau menghala ke Temerloh memberhentikan lori selepas mendengar bunyi meletup dari sebelah kiri.

“Dia (pemandu) mendapati tayar tercabut dari rim dan apabila memandang ke belakang dia melihat ada seorang lelaki terbaring di kaki lima sebelah kiri jalan,” katanya.

Zul Haizal berkata, pemandu lori itu telah membuat laporan polis dan ditahan untuk siasatan serta diambil sampel darah dan air kencing untuk siasatan lanjut.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Temerloh untuk dibedah siasat dan keputusan mendapati kematian berikutan kecederaan di bahagian kepala.

“Siasatan lanjut masih diteruskan. Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) APJ 1987.

“Setakat ini, tiada saksi yang tampil melaporkan mengenai kejadian ini. Sekiranya sesiapa mempunyai maklumat, boleh memaklumkan kepada pihak polis,” kata beliau.

Difahamkan, mangsa sebelum ini sering kelihatan berjalan kaki setiap hari sejak mengidap masalah kesihatan mental.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Mengkarak.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");