Jenayah

Padah kacau tidur

Alor Setar: Seorang lelaki gelandangan maut apabila parah pada mukanya akibat dipukul bertalu-talu dengan kayu oleh seorang gelandangan lain dalam pergaduhan di stesen teksi di belakang sebuah kolej swasta di Jalan Langgar, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 11 pagi menyebabkan mangsa berusia 40-an yang belum dikenal pasti identiti mati di tempat kejadian, manakala suspek lelaki berusia 63 tahun juga cedera pada kepala.

Difahamkan, kejadian dipercayai bermula apabila suspek yang sedang tidur di atas bangku tiba-tiba naik angin selepas mangsa didakwa melempar batu ke arahnya dan terkena pada muka lalu tercetus pergaduhan.

Saksi kejadian, Mustapa Man, 67, berkata, secara kebetulan dia melalui kawasan berkenaan untuk singgah minum di sebuah gerai lalu terdengar bunyi bising sebelum ternampak dua lelaki sedang bergaduh.

Menurutnya, beberapa orang yang berada berhampiran kawasan itu turut cuba menenangkan lelaki terbabit, tetapi tidak diendahkan, namun suspek terus memukul mangsa dengan kayu yang berada di tangannya.

“Saya melihat lelaki berkenaan memukul mangsa bertalu-talu dengan kayu untuk suatu tempoh, tetapi tidak berani mahu membantu kerana tidak mempunyai apa-apa selain bimbang diserang juga.

“Ketika itu, saya rasa takut berikutan melihat lelaki terbabit seperti hilang akal kerana berterusan memukul mangsa yang sudah terbaring dengan muka berdarah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Menurutnya, tidak lama kemudian sepasukan polis tiba di lokasi menyebabkan suspek menghentikan perbuatannya sebelum dia ditahan untuk siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.15 pagi sebelum sebuah kenderaan Unit Peronda Polis (MPV) dihantar ke lokasi untuk siasatan.

Menurutnya, sebaik tiba anggota polis tiba, mereka mendapati seorang lelaki sedang bergaduh dengan mangsa yang terbaring di atas jalan dengan kecederaan pada bahagian muka.

Katanya, anggota polis kemudian menahan suspek dan merampas kayu itu untuk siasatan sebelum mendapati mangsa tanpa identiti sudah tidak bernyawa.

“Siasatan awal mendapati suspek yang cedera pada kepala dipercayai mempunyai masalah mental selain memiliki enam rekod jenayah lampau.

“Mayat mangsa yang juga dipercayai kurang siuman dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk bedah siasat,” katanya.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");