Jenayah

Pemandu nyaris parah

SEREMBAN – Seorang pemuda mengalami detik mencemaskan apabila kereta jenis Honda CRV dipandunya dihempap pokok besar berusia 50 tahun ketika sedang mencari parkir di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 4.52 petang itu turut mengakibatkan empat kereta lain iaitu Perodua Alza, Produa Kancil, Perodua Kenari dan Proton Gen 2 yang diletakkan di tempat parkir di bahagian belakang hospital berkenaan rosak.

Mangsa yang berusia 25 tahun enggan dikenali berkata, dia bersama ibu dan adik perempuannya ke hospital terbabit untuk mengambil ayahnya yang dibenarkan keluar selepas dimasukkan ke hospital sejak lima hari lalu akibat penyakit kencing manis.

“Sebelum kejadian itu saya sempat menurunkan ibu dan adik perempuan terlebih dahulu sementara mencari parkir.

“Bila melalui jalan itu saya nampak seorang pengawal keselamatan melambai tangan kepada saya. Tapi masa itu hujan agak lebat dan saya tidak jelas kenapa dia bagi isyarat macam itu,” katanya.

Namun katanya, dia terkejut sebaik terdengar seperti ada benda besar menghempap bumbung keretanya beberapa kali sebelum pengawal keselamatan itu membantu mengeluarkannya.

“Saya masih terkejut dengan kejadian ini, tapi saya bersyukur kerana selamat walaupun kereta mengalami rosak teruk,” katanya.

Saksi kejadian, M Ganesan, 52, yang juga pengawal keselamatan berkata, dia sempat melambai tangan ke arah mangsa sebagai isyarat memintanya beredar dari situ.

“Ketika itu hujan lebat dan angin kencang. Tiba-tiba saya perasan ada ranting jatuh dan kemudian saya dengar bunyi seperti pokok mahu tumbang.

“Bila saya nampak ada sebuah kereta mahu melalui jalan itu, dari jauh saya beri isyarat supaya beredar, tapi mungkin dia tidak perasan menyebabkan dahan pokok sebesar pemeluk menghempap bumbung kereta mangsa,” katanya ketika ditemui di HTJS di sini, semalam.

Menurutnya, dia dan rakan lain bergegas membantu mengeluarkan mangsa yang dilihat dalam keadaan ketakutan kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba Seremban, N Sundram berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada polis memaklumkan kejadian itu.

“Satu jentera dan Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) bergegas ke lokasi bersama lima pegawai dan anggota bagi operasi menyelamat.

“Sebaik sampai didapati empat kereta di tempat parkir bahagian belakang hospital iaitu Perodua Alza, Perodua Kancil, Perodua Kenari dan Proton Gen2 dan sebuah kereta Honda CRV dipercayai sedang melalui jalan berkenaan mengalami kerosakan akibat dihempap pokok,” katanya.

Bagaimanapun katanya, mangsa yang berada di dalam kereta Honda CRV tersebut telah pun dikeluarkan oleh orang awam dan tidak mengalami kecederaan.

Sundaram berkata, kira-kira satu jam diambil untuk membuat kerja-kerja pemotongan pokok di situ.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");