Sukan Hari Ini

Peninju ‘berguru’ di Kazakhstan

Seremban: Persiapan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) menghadapi temasya Sukan SEA Singapura tampak lancar apabila tujuh peninju disenaraikan menggalas cabaran negara mengikuti latihan intensif di Kazakhstan.

Latihan sejak 6 Mei lalu dan berakhir hujung bulan ini mampu meningkatkan tahap prestasi peninju sebelum menggalas misi getir memburu pingat emas pada temasya sukan terbesar rantau ini.

Setiausaha Kehormat PTAM Mohamed Jani Ismail berkata, tujuh peninju terbabit ialah Mohd Fuad Mohd Reduan bagi kategori 49 kilogram (kg), Mohd Azwan Mohd Nor (52kg), Arfiqanie Ahmad Anshori (56kg), Muhamad Al-Nazirul Osman (60kg), Khir Akyazlan Azmi (64kg), Rudy Petrus (75kg) bagi lelaki dan seorang wanita Lee Ai Jim dalam kategori 48kg.

Beliau yang juga pengurus pasukan berkata, latihan itu persiapan terakhir dengan sasaran awal merangkul satu pingat emas.

“Setakat ini sasaran masih satu emas, namun kita harap peninju mampu cipta kejutan dengan pencapaian lebih baik.

“Apapun saya harap persiapan rapi ini akan mencatat pencapaian lebih baik daripada temasya sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, prestasi dipamerkan peninju sepanjang latihan cukup memberangsangkan dan antara peninju yang mampu menyumbang pingat emas adalah Mohd Fuad manakala Ai Jim, yang juga pemenang pingat gangsa edisi 2011 di Indonesia, dijangka mampu mencipta kejutan.

Mohamed Jani berkata, pengalaman latihan di Kazakhstan selain penyertaan dalam dua kejohanan jemputan April lalu di Singapura dan Palembang dengan meraih tiga emas akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Mereka sudah menunjukkan prestasi memberangsangkan dan jika mengekalkan prestasi itu, saya yakin skuad tinju negara mampu melakar kejayaan,” katanya.

Skuad tinju negara bertolak ke Singapura 1 Jun ini manakala perjuangan memburu pingat bermula lima hari kemudian.

Pencapaian terbaik skuad tinju setakat ini adalah dua emas pada 2009 di Laos menerusi Muhamad Farkhan Haron dalam kategori 75kg dan Muhd Fairus Azwan Abdullah (81kg).

– http://www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");