Laporan Eksklusif

Pertumbuhan Negara Bersandar Kepada Peningkatan Produktiviti Negara – Najib

KUCHING: Tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 akan terarah kepada usaha mempertingkatkan tahap kemahiran pekerja dan menjadikan pertumbuhan negara di masa hadapan lebih bersandarkan kepada peningkatan dalam produktiviti negara.

Bagi tujuan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penekanan akan diberi kepada aspek latihan berbentuk vokasional, bukan sahaja menerusi inisiatif kerajaan semata-mata, tapi turut melibatkan pembabitan sektor swasta.

Malaysia, katanya, tidak lagi boleh berterusan bersaing dengan kelebihan memiliki sumber tenaga kerja yang murah semata-mata, kerana jika ia berterusan, negara akan kekal sebagai negara membangun, atau negara dunia ketiga.

“Pekerja mahir (dalam negara) ketika ini hanya 25.3 peratus saja, manakala 61.8 peratus berkemahiran sederhana dan selebihnya rendah. Sebab itu dalam RMK-11 yang saya akan bentang bulan depan kita nak tekankan kepada ‘productivity led growth’… pertumbuhan masa depan negara mesti bersandarkan kepada peningkatan produktiviti,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada majlis Sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, Jumaat.

Sambutan Hari Pekerja bertemakan ‘Pekerja Sihat Produktiviti Meningkat’ tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya diadakan di luar Semenanjung Malaysia, dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung dan peserta.

Najib berkata, negara perlu berusaha mengukuhkan pertumbuhan ekonomi dengan memiliki kumpulan pekerja yang mempunyai daya saing yang tinggi.

Menurutnya, komponen gaji pekerja dalam Keluaran Dalam Negara Kasar ketika ini adalah sekitar 30 peratus, berbanding 28 peratus pada tahun-tahun sebelumnya, dan perdana menteri berkata di masa akan datang, beliau ingin melihat peratusnya meningkat hingga 40 peratus sebagaimana yang dinikmati negara-negara maju.

Beliau berkata, kerajaan membuat segala perancangan yang teliti dalam pembangunan para pekerja, dan melaksanakan segalanya dengan lebih sistematik untuk menjamin masa depan yang lebih cerah buat semua, namun ia tidak boleh dijayakan dengan sekelip mata.

“Kita bukan kerajaan yang bebankan rakyat, kita nak bantu rakyat. Kita buat ‘engagement’ dengan rakyat. Kita tanya pendapat mereka,” katanya.

Perdana Menteri kemudiannya menyampaikan 18 Anugerah Hari Pekerja kepada pemenang pelbagai kategori.

Turut hadir di majlis ini ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot anak Jaem, barisan menteri
Kabinet persekutuan dan negeri, serta pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");