Berita Hari Ini

Proses pindaan 90 peratus selesai

BATU GAJAH – Proses pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang membawa hukuman hudud di Kelantan sudah mencapai tahap 90 peratus selesai.

Panel Jawatankuasa Pelaksanaan Hudud Kelantan, Dr Mohd Azhar Abdullah berkata, intipati kandungan rang undang-undang itu hampir siap, namun belum didedahkan secara umum.

Menurutnya, selain hudud, perbincangan dan persediaan dilakukan kerajaan negeri melalui jawatankuasa dilantik itu juga merangkumi kaedah pelaksanaan hukuman hudud itu sendiri dan qisas, iaitu kesalahan dikenakan hukuman balas.

“Seperti yang selalu diperkatakan orang mengenai hukuman potong tangan, rejam dan bunuh, jadi ini antara yang kita masih bincangkan.

“Oleh kerana di peringkat negeri sudah diluluskan jadi kita telah gerakkan beberapa langkah utama dalam usaha memastikan undang-undang syariah ini terlaksana di negeri itu.

“Antaranya kita sedang memperkasa latihan kepada hakim dan penguat kuasa melalui forum dan seminar, juga memberi penerangan kepada rakyat di setiap daerah. Menerusi 18 penceramah yang terlibat, hampir seluruh daerah sudah kita jelajahi, hanya tinggal Gua Musang sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Tafaqquh-‘Bunuh Tanpa Niat: Antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Udang Syariah, Yang Mana Lebih Adil?’, di sini, semalam.

Antara panel yang mengambil bahagian dalam seminar anjuran Ikatan Ilmuan Perak, Batu Gajah Care dan Belia Masjid Batu Gajah itu ialah Peguam, Mohd Fitri Asmuni dan Bekas Pensyarah International Education Centre Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohamad Ridhauddin Mohd Salleh.

Dr Mohd Azhar mengakui, kerajaan Kelantan berdepan dengan pelbagai halangan, bukan setakat pertindihan dengan perlembagaan, namun tentangan dari komponen parti sendiri.

“Ini perlu kita perjuang, perselisihan komponen parti hanya akan melambatkan usaha untuk mempraktikkan undang-undang itu,” katanya.

Seminar berlangsung hampir empat jam itu antara lain menekankan implikasi pelaksanaan Undang-undang Syariah membabitkan kemalangan maut dengan merujuk nahas mengorbankan tiga beranak termasuk bayi enam bulan di Kilometer 6.2, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), 2 Mei lalu.

Dr Mohd Azhar berkata, dalam kes itu, Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan dan Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang terpakai dalam Undang-undang Sivil bagi mensabitkan pesalah tidak dapat membela kebajikan waris dan keluarga si mati apabila denda yang diperuntukkan dibayar kepada kerajaan.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan hukuman dalam Undang-undang Jenayah Syariah yang mewajibkan pesalah membayar pampasan nyawa kepada waris mangsa.

Sementara itu, Mohd Fitri berkata, tuntutan ganti rugi kepada pihak yang melakukan kecuaian sehingga terjadinya kemalangan berkenaan boleh dibuat ahli keluarga.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");