Sukan Hari Ini

PSM susun strategi pastikan emas Sukan Sea 2017

TINDAKAN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menghantar skuad pelapis menyertai Siri Super Istaf 3/2014-15 di Gunsan, Jeollabuk-do, Korea Selatan dan Piala Raja Thai menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan peminat setia sukan warisan ini.

Hanya Khairol Zaman Hamir Akhbar (pelibas) yang dibawa manakala Hanafiah Dolah (pelibas), Farhan Adam (pengumpanm) dan Syahir Rosdi (tekong) yang menjulang kejuaraan di Siri Super Istaf 2/2014/15 di Melaka, Februari lalu tidak disenaraikan nyata mengejutkan semua peminat.

Ternyata gandingan Khairol Zaman bersama Hairul Hazizi Haidzir , Sahidan Md Ali (tekong), Zamree Mohd Dahan (pelibas), Zuleffendi Sumari (pengumpan) hanya mampu meraih tempat ketiga selepas menewaskan Singapura.

Adakah PSM kini melihat pentas Istaf dan Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai edisi ke- 30 yang dikategorikan sebagai kejohanan lima bintang dijadikan medan eksperimen atau sebaliknya.

Masih kekurangan kejohanan kompetitif

Bagi Presiden Masyarakat Bola Rotan (MBR), Mohsen Amdan, menghantar pemain muda memang perlu untuk menimba pengalaman tetapi bukanlah bagi kejohanan bertaraf lima bintang seperti Istaf dan Piala Raja Thai.

“Eksperimen ini penting kerana kita kekurangan kejohanan kompetitif, tetapi menghantar regu muda untuk kejohanan berprestij tinggi tidak seharusnya berlaku.

“Menyimpan Syahir, Aizat, Hanafiah dan Farhan untuk Istaf Korea memang perlu kerana reputasi perlu dijaga, tiada istilah simpan kuku dalam hal ini kerana PSM sememangnya kekurangan pemain berkualiti.

“Ini adalah satu kesan nyata tiada program pembangunan tersusun dijalankan PSM sebelum ini selepas kita cemerlang di Istaf Melaka, Februari lalu,” jelasnya.

Medan pemilihan pemain negara

Mohsen turut menjelaskan, pentas Piala Raja Thai seharusnya digunakan PSM untuk menilai sejauh mana keberkesanan pemain negara menjelang Sukan Sea di Singapura 5 hingga 16 Jun nanti.

“Lihat sahaja pasukan tuan rumah, mereka melihat kejohanan ini sebagai penanda aras untuk kejohanan Sukan Sea di Singapura nanti.

“Tetapi perkara sebaliknya berlaku buat Malaysia apabila menyenaraikan pemain simpanan untuk beradu tenaga di Thailand,” ujarnya.

Beri lebih pendedahan pemain pelapis

Sementara itu, Timbalan Presiden PSM, Akramuddin Abd Aziz menafikan tindakan menghantar skuad pelapis menjurus eksperimen tetapi lebih kepada pengalaman.

“Kita perlu memberi pendedahan kepada skuad pelapis sambil tidak mengganggu skuad elit yang kini sedang menjalani latihan persediaan Sukan Sea di Mersing, Johor.

“Perlu diingat sasaran kita bukanlah pada Sukan Sea di Singapura tetapi di laman sendiri iaitu 2017,” katanya.

Perlu ada strategi

Mengulas tindakan PSM tidak menghantar skuad elit menyertai Istaf Korea dan Piala Raja Thai, Akramuddin menjelaskan setiap kejohanan memerlukan taktikal dan teknik untuk mencapai kemenangan.

“Kita ada perancangan tersendiri mengapa skuad elit tidak dihantar menyertai dua kejohanan ini, mental pemain dan tahap kecergasan perlu dijaga.

“Malaysia dengan Thailand pada dasarnya memiliki prestasi seimbang cuma membezakannya adalah teknik dan strategi ketika beraksi.

“Inilah yang ingin diterapkan kepada barisan pemain negara bagi memastikan sasaran emas Sukan Sea 2017 di Malaysia tercapai,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");