Membawang Hari Ini

Qa’rabah selit unsur motivasi

Tiga sahabat – Jeff A To Z, Shajiry dan Izzuwan Shah yang bergabung menubuhkan kumpulan Qa’rabah tahun lalu, makin selesa bergerak aktif dengan menyanyikan lagu berunsurkan ketuhanan dan dakwah.

Mereka bukan sekadar anggota kumpulan tetapi juga rakan kongsi syarikat Beatbox Production Sdn Bhd dan bakal muncul dengan single pertama, Qa’rabah.

Hadir di studio untuk memperkenalkan single mereka, Shajiry dan Jeff memohon maaf kerana Izzuwan tidak dapat bersama mereka pada hari itu.

Berkongsi cerita mengenai kerjasama mereka, Shajiry atau Mohd Shajiry Damery berkata, ia bermula apabila satu syarikat datang dan meminta khidmat mereka menghasilkan lagu korporat.

Mereka menerima tanggungjawab menghasilkan lagu korporat itu dan apabila siap, mereka nyanyikan lagu itu secara suka-suka. Bermula dari detik itulah tertubuhnya kumpulan itu.

“Pada mulanya, kumpulan ini kami namakan Al-Hidayah tetapi rasa nama itu terlalu suci dan seolah-olah menunjukkan kami terlalu baik. Kemudian kami tukar menjadi Qa’rabah bermaksud kerabat atau sahabat terdekat.

“Kalau ikutkan, kami bergerak sebagai kumpulan sejak dua tahun lalu, tetapi secara rasminya kami membuat kemunculan tahun lalu menerusi lagu Taubat.

“Mendapat maklum balas positif, ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk muncul dengan lagu dakwah dan ketuhanan. Kami juga menyuntik elemen motivasi dalam karya dihasilkan,” katanya.

Lagu itu turut menjadi runut bunyi untuk telemovie Pukau lakonan Adlin Aman Ramlie dan Zarif Kamil, bekas pelajar Akademi Fantasia 2014. Ia memudahkan perjalanan lagu itu untuk mencuri perhatian ramai, ditambah pula apabila memilih RJ untuk bekerjasama menerusi lagu itu.

Jeff atau Ahmad Shahjeffry A Samad berkata, mereka tidak menghadapi masalah bekerjasama dengan RJ.

Sebelum memilih RJ, mereka menyenaraikan beberapa nama untuk menyanyikan bahagian rap namun antara semua, RJ paling cepat memberi respons.

“Apabila kami hubungi RJ, dia tiada komitmen lain ketika itu. Memang rezeki kami untuk bekerjasama dengannya.

“RJ juga menyatakan rasa gembira kerana dapat bekerjasama dengan kami. Sepanjang proses rakaman, tidak timbul isu kami lebih senior daripadanya dan sebaliknya. Keadaan seperti itu membuatkan sesi rakaman berjalan lebih lancar,” katanya.

Kata Jeff, syarikat mereka mempunyai perpustakaan yang menempatkan lagu mahupun lirik yang sudah siap. Semakin hari, jumlah itu bertambah banyak dan atas sebab itu mereka mengambil keputusan menya­nyikan lagu dalam simpanan mereka.

Walaupun kini beralih pada lagu dakwah dan ketuhanan, ia tidak menghalang Jeff menghasil­kan lagu untuk penyanyi lain sesuai dengan permintaan mereka. Baru-baru ini juga, Jeff menulis lagu untuk Datuk AC Mizal, Peace Yall.

“Saya tidak meletakkan had untuk menulis lagu berunsur ketuhanan dan dakwah saja. Saya juga menulis lagu lain mengikut permintaan semasa.

“Cuma sebagai kumpulan, lagu yang akan kami nyanyikan menyuntik elemen keinsafan. Namun dalam penghasilan lagu, paling penting ialah kesesuaian dengan usia kami sekarang.

“Menarik perhatian muda-mudi bukan mudah, apatah lagi dengan lagu seperti ini, tetapi tidak salah mencuba. Muzik sesuai dengan mereka tetapi juga tidak terlalu kebudak-budakan,” katanya.

Jeff yang juga penulis lagu Al-Haq Yang Satu melihat kecenderungan penggunaan muzik sebagai satu medium untuk mendidik. Tidak hanya dalam hal dakwah tetapi dari kecil, anak turut didedahkan kepada alunan muzik ketika sesi pembelajaran.

“Kita lihat saja anak zaman sekarang. Belajar huruf rumi dan hijaiyah pun meng­gunakan muzik. Cara ini mudah bagi mereka kerana membantu proses belajar menjadi lebih mudah dan cepat. Ia juga mampu menarik perhatian mereka.

“Begitu juga dalam hal dakwah. Oleh kerana semua orang suka muzik, terutama muda-mudi, kami gunakan cara ini untuk mendidik mereka.

“Pendengar pun mula-mula akan mendengar muzik, selepas itu hafal lirik dan kemudian memahami maksud sebenar,” kata Shajiry.

Sudah lama tidak muncul dalam industri muzik, Jeff akui penubuhan kumpulan ini bukan sekadar mencari glamor, sebaliknya memikirkan ‘saham’ akhirat. Ia juga cara menjalankan tang­gungjawab memperingatkan sesama saudara Islam.

Kata Shajiry, walaupun membawa lagu ketuhanan, imej mereka tidak seperti dibayang­kan. Penampilan mereka masih sama seperti dulu dan turut mengikuti perkembangan fesyen terkini.

“Rasanya tidak perlu melakukan perubahan besar. Memadai dengan menjaga perilaku kita. Dari segi pakaian pula, tidak terlalu sukar untuk lelaki menjaga aurat berbanding wanita.

“Bagaimanapun, untuk persembahan dan menghadiri majlis, kami akan mengekalkan imej de­ngan pakaian putih. Bukan mahu menunjukkan kononnya suci, tapi sebab nampak bersih,” kata­nya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");