Membawang Hari Ini

Ramai suka watak Zuhal

Dia antara barisan pelapis yang mula meraih perhatian peminat di persada hiburan tanah air ketika ini.

Bermula sebagai finalis Hero Remaja 2011/2012, bakat lakonan Ben Amir terus digilap dalam pelbagai drama dan telefilem terbitan produksi tempatan sejak dua tahun lalu.

Terbaru, nama Ben kembali meniti di bibir peminat menerusi drama bersiri Dunia Generasi Baru yang bersiaran di slot Aurora TV9 bermula 16 April lalu.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Muhammad Amir Sabaruddin, 23, ini mengakui, watak Zuhal turut mencabar lakonannya sebagai pelakon baru.

“Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas positif daripada penonton terutama peminat di laman Twitter dan Instagram. Rata-rata ramai yang menyukai karakter Zuhal itu. Sebagai pelakon, pasti saya ingin menghasilkan lakonan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

“Watak Zuhal juga sangat bertenaga dan banyak bermain dengan ekspresi. Saya seronok melakonkannya walaupun ia agak memenatkan.

“Namun, masih banyak kelemahan yang perlu ­diperbaiki dalam aspek lakonan seperti bercakap ­terlalu laju dan tidak jelas. Mungkin kerana saya sudah biasa bercakap laju dalam perbualan seharian hingga terbawa dalam lakonan,” katanya.

Berkongsi pengalaman di lokasi pula, kata Ben, dia menimba pengalaman berharga sepanjang penggambaran drama berkenaan.

“Pengarah drama ini, abang Joe berbeza daripada pengarah yang pernah saya bekerja sebelum ini. Dia ­sangat fokus pada aspek lakonan. Setiap reaksi dan dialog perlu diambil serius. Banyak ilmu lakonan yang saya pelajari dengannya untuk menjadi pelakon yang bagus pada masa depan.

“Kami banyak berbincang untuk menjadikan sesuatu babak itu lebih menarik. Itu cara pengarahan yang saya mahukan sepanjang terbabit dalam lakonan.

“Pada masa sama, barisan pelakon lain juga tidak kurang hebatnya. Kami semua masih baru dalam bidang lakonan tetapi masing-masing berusaha beri komitmen terbaik pada watak masing-masing. Hubungan kami juga rapat bagaikan keluarga besar,” katanya.

Drama bersiri Dunia Generasi Baru menceritakan mengenai kisah enam remaja bersahabat, Norelle, Zuhal, Zahra, Rik, Siska dan Aman, dengan kerenah masing-masing yang pasti membuatkan penonton terhibur.

Selain Ben, drama ini tutut dimantapkan lagi dengan barisan pelakon muda berbakat besar seperti Zahirah Macwilson, Fadlan Hazim, Kaka Azraff, Natasha Elyzza dan Erwin Dawson.

Impi berlakon dalam filem aksi

Sebagai pelakon baru, Ben mengakui masih banyak ilmu yang ingin ditimbanya dalam memantapkan lagi prestasi lakonannya.

Selain mencuba pelbagai watak, jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini juga ingin bekerja dengan lebih ramai pengarah hebat seperti Dain Said, Osman Ali dan Syamsul Yusof.

“Terus terang, perjalanan karier seni saya masih jauh. Justeru, saya juga tidak kisah ditawarkan watak kecil atau pembantu dalam drama demi untuk menggilap bakat dalam lakonan.

“Selain bekerja dengan pengarah yang hebat, saya juga ingin berlakon di samping pelakon berkaliber seperti Bront Palarae, Beto Khuisairy, Sharifah Amani dan Siti Saleha,” katanya.

Ditanya watak yang diimpikan, Ben mengakui dia juga ingin beraksi watak utama dalam filem genre aksi selepas ini.

“Saya memang minat dengan cerita aksi dan watak yang beri inspirasi kepada orang lain. Antaranya watak sebagai anggota polis dalam filem.

Sebelum ini, saya pernah berlakon watak anggota polis dalam telemovie Abang Long vs Kak Long,” katanya.

Selepas drama Dunia Generasi baru, Ben akan beraksi dalam telemovie raya berjudul Pelukan Ramadan untuk saluran Astro terbitan Zeel Production.

Dalam perkembangan lain, pemegang Diploma Pengajian Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka ini turut berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan membuka butik pakaian dan kereta bersama rakannya di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Antara drama dan telefilem lakonannya sebelum ini ialah Fira Ayuni, Merah Bukan Jambu, Playboy Itu Suamiku, Amin, Bulan Ku Di Hentian, Hajah Bakhiliah. Tidak ketinggalan, dia turut berlakon dalam filem Romeo Kota arahan Aaron Aziz.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");