Membawang Hari Ini

Rita Rudaini akan terus pejuang hak

SEJAK mula mendirikan rumah tangga pada tahun 2008, pelbagai kisah mula menjengah perjalanan wanita bernama Rita Rudaini Mokhtar ini.

Dari hubungan bersama suami, keluarga sehinggalah kisah demi kisah bersama anak-anak menjadi antara kisah utama di dada media cetak mahu pun media elektronik.

Meskipun sudah bercerai dengan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 5 September 2013 setelah lima tahun mendirikan rumah tangga, ceritera Rita dan Aidil tetap belum berkesudahan.

Biarpun empat tahun terpaksa naik turun mahkamah demi memperjuangkan haknya sebagai seorang ibu dan wanita, Rita tidak kisah. Jelas Rita segala pengorbanan yang dilakukan pada hari ini adalah demi kesenangan dan kemudahan hidup anak-anaknya pada masa akan datang.

Malah kini Rita berkata, ada dua lagi kesnya yang akan berjalan di mahkamah termasuk kes mutaah.

“Tipulah kalau saya kata saya tak penat, tapi apabila melihat anak-anak, semangat saya bertambah kuat. Malah kini saya bekerja bukan untuk diri sendiri lagi, tetapi untuk anak-anak.

“Saya sedar sejak mula saya naik turun mahkamah, ada yang memperlekehkan usaha saya. Mereka menganggap saya tidak ‘move on’, mata duitan dan sebagainya. Tetapi apa yang saya lakukan sebenarnya adalah hak untuk anak-anak.

“Bahkan ia juga adalah hak saya sebagai wanita. Di mahkamah, sebagai wanita, ada banyak hak yang boleh kita perjuangkan. Kalau menang, dapat duit, itu mahkamah yang putuskan,” katanya kepada Zass.

Menurut Rita, apabila berada di mahkamah dia menyedari ada banyak kes yang lebih rumit yang dialami oleh wanita lain dan ia sedikit sebanyak memberi kekuatan kepadanya untuk memperjuangkan haknya sebagai wanita.

“Saya bukanlah nak ajak wanita lain untuk bercerai atau pun bergaduh dengan pasangan masing-masing di mahkamah. Tetapi saya rasa lega apabila ada yang memahami dan menyokong tindakan saya dalam memperjuangkan hak kami sebagai wanita.

“Malah, saya dapat tahu ada yang bangkit dari perjuangan saya dan kalau mereka rasa betul, Alhamdulillah. Kadang-kala saya sedih apabila melihat ada wanita yang tak mahu memperjuangkan hak mereka dan kesudahannya mereka terpaksa bekerja keras tanggung anak
anak sedangkan bekas suami mereka hidup senang lenang,” katanya.

Menafikan menjaja kisah rumah tangga di media massa, Rita berkata, dia tidak pernah mencari media, sebaliknya tetap memberi kerjasama kepada media andai ditemuramah berkaitan kesnya itu.

“Saya tak pernah salahkan wartawan atau jauh sekali rasa letih atau nak lari apabila wartawan datang kepada saya untuk mendapatkan komen atau maklum balas. Saya faham itu kerja mereka dan saya hanya beri kerjasama.

“Dan apabila mereka tanya saya jawablah, jawab yang jujur. Kalau mereka tanya ada tak pihak sebelah sana datang jumpa anak saya, kalau tak saya jawab tak. Takkan pula dia tak datang, saya nak cakap setiap hari dia datang jumpa anak-anak,” jelasnya.

Ujar ibu kepada Airit Rayyan Rizqin, 6 dan Airit Qaqa Arjuna, 4, anak-anak seolah-olah sudah memahami dan tidak bertanya perihal ayah mereka.

“Walaupun kecil, mereka seolah-olah dah memahami, apatah lagi yang bongsu sejak kecil hanya saya di depan matanya, jadi dia tidak pernah bertanya,” katanya.

Lebih selektif

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Rita berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran dua telefilem, satu untuk hari ibu berjudul Jalan Singkat Ke Syurga dan satu lagi untuk siaran sempena hari guru berjudul Kerana Dia Juga Cikgu.

“Buat masa ini saya sedang bercuti selepas sibuk dengan penggambaran dua telefilem berkenaan. Memang sejak ada anak-anak, lepas sibuk bekerja, saya akan ambil cuti. Contoh sebulan bekerja, sebulan juga saya akan bercuti,” katanya.

Mengakui selektif dalam memilih tawaran, Rita berkata, sememangnya sejak dahulu dia memilih tawaran yang datang dan melihat siapa pengarah, pelakon dan juga jalan cerita naskhah terbabit.

“Sejak sebelum berkahwin lagi saya memang memilih apatah lagi apabila sudah ada anak. Bahkan sekiranya saya baharu sahaja menjalani penggambaran dan ada tawaran yang bagus datang, saya tetap akan tolak.

“Saya tak nak bekerja ‘back to back’ dan biarlah masa untuk anak-anak dan bekerja seimbang,” ujar wanita berusia 39 tahun ini.

Produk dapat sambutan

Sementara itu, ditanya mengenai perniagaan produk kecantikannya, Rudainibeaute Skincare dan Luvmycoffee, Rita berkata, sambutan yang diterima cukup hangat biarpun pemasaran produknya hanya dilakukan secara atas talian.

“Alhamdulillah setakat ini sambutan yang diterima masih baik. Bagi saya ini semua adalah rezeki anak-anak. Cuma dalam perniagaan biasalah kadang kala tetap ada turun naiknya.

“Namun buat masa ini saya tidak merancang untuk memperluaskan perniagaan produk saya kerana dalam perniagaan ada risikonya. Jadi saya selesa berniagaan secara atas talian sahaja,” akhiri Rita yang kini kelihatan semakin jelita.

-SInar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");