Membawang Hari Ini

Rozita Che Wan masih persis anak dara

SESETENGAH masyarakat berpandangan, kehidupan lelaki bermula pada usia 40-an. Manakala bagi wanita pula, jarang sekali kita melihat wanita mempunyai pakej lengkap di mana masih tampil elegan, cantik dan berjaya. Apatah lagi kelihatan cantik bak anak dara.

Namun berbeza nampaknya dengan pelakon cantik, Rozita Che Wan, yang bersyukur kerana kehidupannya bertambah baik kini.

“Alhamdulillah pada usia ini, kehidupan saya baru bermula. Banyak tuah saya dapat dan bersyukur kerana masih aktif dalam setiap kerjaya selain menjadi contoh kepada wanita di luar sana.

“Ada sesetengah wanita takut untuk berhadapan apabila usia mencecah 40 tahun, pada saya ini baru permulaan.

“Berbanding lelaki, ada berpandangan pada usia ini, mereka lebih menonjol. Sebenarnya bagi saya, kehidupan yang berjaya itu boleh berlaku pada usia berapa sahaja baik lelaki atau perempuan selagi pandai menjaga penampilan dan kerjaya,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen lebaran oleh Ridzuan Bohari di Elegance Club, baru-baru ini.

Dia yang senang disapa dengan panggilan Che Ta turut berkongsi, segala tuahnya di usia ini mungkin kerana rezeki yang diberikan ALLAH selain perlu berani mencuba sesuatu yang baru.

“Jika dilihat, saya berkahwin semula pada usia 40 tahun. Selepas itu, pada usia 41 tahun, saya dapat anak dan pada usia sekarang 42 tahun, saya menerima banyak tawaran menjadi duta bagi beberapa produk.

“Dalam kehidupan ini, buat apa sahaja yang kita inginkan. Kita tidak tahu selagi tidak mencuba,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini turut berharap, kehidupan kerjayanya yang semakin rancak di usia 40-an akan membuka mata wanita di luar sana untuk berubah.

“Umur saya sahaja dah banyak tetapi saya rasa masih muda. Jangan merasa diri sudah berusia, kita tidak mahu menjaga keperibadian dan kecantikan.

“Apa yang penting, jika nak cantik dan berjaya, jangan kedekut untuk keluarkan duit lebih dan perlu rajin.

“Kerana sesiapa sahaja boleh memakai apa sahaja yang diimpikan termasuk menjadi cantik, tidak semestinya yang bergelar artis sahaja,” katanya.

SH: Kecewa disuruh buka tudung

Dalam pada itu, Che Ta sempat meluahkan rasa kecewa apabila ada stesen televisyen yang menawarkan watak kepadanya dan menyarankannya untuk membuka tudung ketika babak di dalam rumah.
“Kadang-kadang ada stesen TV yang kurang cerdik, apabila saya sudah bertudung ini, ada ke patut minta saya buka tudung apabila babak di dalam rumah.
“Jika di rumah saya bolehlah (buka tudung), jika untuk lakonan keluar TV dan tentu sekali akan menjadi tontonan umum, takkan saya mahu buka tudung.

“Saya kecewa sebab mereka kurang cerdik dan saya memang tak berkompromi apabila dah bertudung kini. Jika nak ambil saya mestilah sesuai dengan keadaan saya kini yang sudah bertudung,” katanya.

Kembali aktif?

Biarpun pernah menyatakan hasrat untuk memperlahankan karier seni kini, Che Ta berkata, dia bagaimanapun masih menerima tawaran sekiranya menarik dan bersesuaian.

“Seperti yang saya katakana sebelum ini, saya tidaklah berhenti berlakon tapi memperlahankan sahaja.

“Insya Allah tidak lama lagi saya akan kembali ke set penggambaran untuk beberapa stesen televisyen. Ada yang melibatkan drama bersiri berbelas episod.
“Namun saya tidak mahu berlakon dalam drama yang memakan masa lama sehingga berpuluh episod,” katanya.

Mengulas pula mengenai pemilihan watak dalam sesuatu lakonan, Che Ta mengakui yang dirinya akan memilih watak.

“Memang saya pilih terlebih dahulu. Begitu juga untuk menjadi duta sesuatu produk. Pertama saya mesti lihat terlebih dahulu benda atau produk tersebut sama ada bagus dan bayaran juga sesuai dengan saya. Sekiranya semua ok, barulah saya terima,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");