Jenayah

Sah penculik mati!

Kota Kinabalu: “Memang sah seorang lelaki yang ditembak mati oleh polis Filipina tempoh hari adalah adik-beradik kepada Muktadil Bersaudara yang terbabit dengan kes penculikan untuk tebusan (KFR) dan saya mengesahkan dua rakyat kita tidak berada di situ ketika itu,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abd Rahman di sini semalam, ketika mengulas berhubung insiden di Wilayah Jolo, Selatan Filipina, Rabu lalu.

Menurutnya, ketika kejadian berbalas tembakan berkenaan yang mengorbankan Mindas Manda @ Muktadil terbabit, dua mangsa culik dalam kejadian di restoran Ocean King, Sandakan pada 14 Mei lalu, Thien Nyuk Fun, 50, dan Bernard Then Ted Fen, 39, tidak berada di lokasi itu dan dilaporkan berada dalam tahanan kumpulan KFR mereka di tempat berlainan.

Dalam kejadian Rabu lalu, di Wilayah Jolo, Kepulauan Sulu di Selatan Filipina itu, Mindas yang juga dipercayai ketua kepada kumpulan jenayah rentas sempadan Muktadil Bersaudara, terbunuh selepas enggan menyerah diri apabila dikepung di sebuah pasar di situ dalam insiden berbalas tembak dengan pihak berkuasa negara terbabit.

“Kejadian itu betul, dengan sumber berita kematiannya dikeluarkan kerajaan Filipina sendiri melalui media sosial dan kita mengesahkan si mati ini adalah seorang daripada adik-beradik kepada Muktadil Bersaudara yang terbabit secara langsung dengan kumpulan KFR.

“Ketika kejadian berbalas tembakan itu berlaku, kedua-dua rakyat kita tidak berada di situ kerana sedang berada dalam tahanan mereka (kumpulan KFR) di lokasi berlainan,” katanya.

Mindas juga merupakan adik beradik kepada dua suspek dikenali sebagai Badong, 40-an dan Nickson, 30-an, yang kini diburu polis tempatan selepas dipercayai terbabit dengan beberapa kes jenayah sempadan rentas di perairan negara ini termasuk disyaki menjadi dalang dalam kejadian culik rakyat tempatan di sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada 14 Mei lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Jalaluddin turut menyokong gesaan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang meminta kerajaan Filipina untuk lebih bertegas terhadap insiden jenayah sempadan rentas membabitkan perairan dua negara ini.

“Bagi saya kejadian seperti ini berlaku setengah abad lamanya dan sudah sampai masanya mereka (Filipina) mengambil tindakan tegas serta lebih bertanggungjawab.

“Sampai bila kita mahu menghadapi situasi yang sama? Mereka menceroboh kedaulatan negara kita dan sepatutnya pihak berkuasa Filipina menunjukkan komitmen tinggi terhadap isu ini termasuk menyertai operasi rondaan bersama kita atau pihak Kawasan Keselamatan Pantai Timur (ESSCOM) bagi menyekat penjenayah yang datang dari negara mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, gesaan terbabit bukanlah bermaksud ingin mempertikaikan keupayaan antara kedua-dua pihak keselamatan termasuk ESSCOM sendiri lebih-lebih lagi dengan kemunculan kes terbaru membabitkan dua rakyat negara ini diculik di Sandakan pada 14 Mei lalu, namun mahu tindakan lebih agresif daripada Filipina kerana ia membabitkan penjenayah yang berasal dari negara mereka.

“Memanglah kita berusaha sebelum ini, bahkan Komander ESSCOM Datuk Rashid Harun sendiri sudah fokus kawasan Sandakan, tetapi disebabkan ada dalang yang membawa mereka (kumpulan penculik) sehingga berlakunya insiden seumpama itu.

“Perlu diingat Sabah mempunyai perairan yang luas dengan 1,700 kilometer dan tidak bolehlah kita mahu tempatkan bot-bot bagi setiap kilometer seperti Singapura lakukan sebelum ini dan jika kita perketatkan juga, bagaimana pula dengan aspek ekonomi serta industri perikanan.

“Janganlah sewenang-wenangnya mempertikaikan keberkesanan penguatkuasaan ini kerana kita sudah berusaha,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");