Jenayah

‘Saya reda hilang lima insan tersayang’

KOTA BHARU – Kehilangan lima insan tersayang pada tarikh yang sepatutnya menjadi hari paling bersejarah buat Nursyarlia Rusli, 22, meninggalkan kesan cukup mendalam.

Mengakui agak terkilan dengan kejadian itu, namun Nursyarlia yang sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen di Politeknik Muadzham Syah pada 25 Mei lalu, reda dan yakin ada hikmah di sebalik insiden tersebut.

“Memang rasa bersalah kerana mereka mahu menghadiri majlis konvokesyen saya tetapi semuanya sudah ditakdirkan, nak buat macam mana, saya reda,” katanya ketika menerima kehadiran Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad di rumah ibu saudaranya di Kampung Tempoyak, Kadok, di sini, kelmarin.

Nursyarlia berkata, dia mengetahui kejadian menimpa keluarganya setelah selesai raptai petang Ahad lalu selepas panggilan dibuat kepada ibu saudaranya disambut individu lain.

“Sebelum memasuki dewan untuk raptai, saya cuba menghubungi mereka tetapi gagal, sebab di Ajil talian tidak begitu baik. Selepas raptai, saya tengok ada panggilan daripada sepupu sebelum menghubunginya semula dan dimaklumkan kemalangan tersebut tetapi tidak pasti bagaimana keadaannya,” katanya.

Menurutnya, dia cuba menghubungi ibu saudaranya yang turut menyertai konvoi berkenaan tetapi disambut individu tidak dikenali memaklumkan kemalangan tersebut dan memberitahunya dia telah menyelamatkan dua mangsa.

Katanya, sejak kejadian itu, tidurnya agak terganggu berikutan semua yang terlibat adalah insan paling rapat dengannya.

“Saya tidak mempunyai sebarang perancangan buat masa terdekat sama ada ingin menyambung pengajian atau mencari pekerjaan kerana ingin menemani ibu, Sharifah Wangai, 49, selepas kehilangan paling besar buat kami sekeluarga,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, Nursyarlia kehilangan bapa, Ahmad Razi Harun, 53, kakak ipar, Dayang Suhana Mohd Nawi, 22, anak saudara, Nur Damia Irdina Rosailan, 10 bulan dan sepupu, Umar Rayyan Suhaimi, 6, serta ibu saudaranya, Hafshah Wangai, 56.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");