Sukan Hari Ini

‘Saya takkan lari’

Kota Bharu: “Setiap kata-kata yang keluar daripada mulut anda (penyokong) terhadap pasukan adalah satu doa. Kalau kata-kata itu positif, insya-Allah Kelantan boleh bangkit. Tapi jika kita terus mengutuk, mungkin ia satu doa mahukan pasukan Kelantan jatuh cepat,” kata ketua jurulatih The Red Warriors (TRW) Mohd Azraai Khor Abdullah (gambar).

Beliau memberikan reaksi itu selepas dimaklumkan segelintir penyokong Kelantan mendesaknya melepaskan jawatan susulan kekalahan 1-3 di tangan LionsXII pada final Piala FA, Sabtu lalu.

Azraai berkata, beliau memahami perasaan penyokong yang tidak dapat menerima kekalahan itu tetapi sebagai jurulatih, dirinya sendiri tidak terkecuali.

Katanya, beliau bersama pemain sudah melakukan yang terbaik, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

“Walaupun ada penyokong mendesak saya meletak jawatan, saya tidak akan lakukannya kerana khidmat saya masih diperlukan pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dalam membantu pasukan menghadapi baki perlawanan Liga Super.

“Saya kini akan tumpukan terhadap saingan Liga Super termasuk memperbaiki kedudukan Kelantan. Jika Kelantan gagal, secara ‘gentleman’, saya akan letak jawatan tanpa dipaksa mana-mana pihak,” katanya.

Dalam laporan akhbar kelmarin, segelintir kumpulan penyokong meminta Azraai bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan itu apabila wujud kelemahan dalam percaturannya pada final itu.

Mereka berpendapat, kekalahan kepada LionsXII itu sukar diterima, malah amat memalukan kerana skuad bimbingan Fandi Ahmad hanya membariskan pemain tempatan.

Sementara itu, wakil Kelab Penyokong Rasmi Bola Sepak Kelantan, Haron Ali pula berkata, tidak wajar kumpulan itu mendesak Azraai meletak jawatan, sebaliknya harus memberi peluang kepada jurulatih berkenaan memperbaiki pasukan.

“Setakat ini, tidak ada lagi penyokong TRW meminta Azraai letak jawatan, cuma, mereka meluahkan perasaan kecewa terhadap kekalahan itu melalui laman sosial Facebook seperti The Red Warriors Malaysia.

“Saya percaya, Kelantan masih ada peluang untuk bersaing dengan pasukan lain dalam Liga Super termasuk berada dalam kelompok lima terbaik, seterusnya layak ke Piala Malaysia,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");