Berita Hari Ini

Shahrir akui jumpa Arul

SHAH ALAM – Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad mengesahkan pernah berjumpa Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, 27 Mei lalu.

Menurut Shahrir, gambar tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu yang menunjukkan beliau dan Arul berbincang di hotel adalah asli.

Dalam kenyataannya di portal BNBBC, beliau berkata, pertemuan tersebut turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Katanya, tujuan pertemuan adalah untuk membolehkan BNBBC memahami isu berkaitan 1MDB dan mendapatkan maklumat berkaitannya.

“Ini bermakna sokongan dan pendirian ahli-ahli parlimen BN adalah berasaskan fakta serta maklumat tepat dan bukan hanya sokongan berasaskan kesetiaan kepada parti semata-mata,” katanya.

Penyebaran gambar pertemuan tersebut telah menimbulkan pertikaian berikutan kegagalan Arul Kanda menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sehari sebelum itu.

Arul Kanda memberi alasan beliau tidak dapat menghadiri prosiding kerana berada di luar negara pada 26 Mei.

Namun, pertemuan Arul Kanda dan Shahrir dilangsungkan di hotel di ibu kota.

Dalam pada itu, Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bharu berkata, selain Arul Kanda, beliau turut berjumpa dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah bagi mengetahui kedudukan semasa dan perancangan masa depan 1MDB.

Malah, katanya, beliau juga ada memberikan cadangan agar 1MDB dan Kementerian Kewangan menambah modal syarikat selaras dengan liabiliti ditanggung 1MDB tanpa perlu bergantung pada dana awam atau pinjaman baru.

“Saya berpendapat 1MDB mempunyai aset bernilai, tapi sebagai sebuah syarikat ia tidak dimodali sewajarnya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Shahrir berkata, pertemuan hampir tiga jam dengan Arul Kanda tidak menyentuh siasatan PAC terhadap 1MDB.

“Saya menghormati kedudukan PAC sebagai jawatan kuasa tetap Parlimen. PAC terima permintaan Arul Kanda untuk ditangguhkan kehadirannya kepada suatu tarikh baru menggantikan pertemuan yang sepatutnya diadakan Selasa lalu.

“Itu harus dihormati malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mahu ia disegerakan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");