Perak Hari Ini

Sikap Peniaga Tidak Bertanggungjawab Eksploitasi GST, Timbulkan Kemarahan Kepada Kerajaan -PM

GOPENG: Sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan mengeksploitasi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah menimbulkan persepsi buruk kepada Kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kebanyakan permasalahan dan salah faham mengenai GST yang menimbulkan kemarahan rakyat adalah berpunca daripada sikap peniaga yang ingin mengaut keuntungan yang berlebihan.

Katanya lagi, hasil daripada kutipan GST yang dilakukan oleh kerajaan tersebut akan digunakan untuk memberikan manfaat kepada rakyat.

“Kalau kita tambah hasil, saya akan bentangkan kepada rakyat setiap ringgit tambahan hasil negara melalui GST, saya akan bentangkan untuk pengetahuan rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Lawatan Kerja Ke Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, hari ini.

PERAKTODAY8

Tambah Najib lagi, dasar yang telah dilakukan oleh kerajaan adalah demi kepentingan rakyat serta untuk mengukuhkan kewangan negara.

“Kita punya dasar baik… bila orang mengeksploitasikan keadaan ini, mereka salahkan kerajaan.

“Walhal, niat di hati saya ialah untuk mengukuhkan keadaan kewangan negara untuk kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan telah berusaha untuk membantu rakyat dengan memansuhkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan menggantikannya dengan GST.

“Ada barang yang orang tidak tahu dulu ada SST, tetapi yang masalahnya SST dulu patut dikurangkan harga, bukan dikurangkan malah ditambahnya lagi enam peratus.

“Inilah punca masalahnya rakyat marah kepada kerajaan.

“Ini bukan soal dasar, tetapi dalam tempoh satu tahun lagi, saya yakin dan percaya, perkara ini boleh dibetulkan,” tambah beliau lagi.

Ujarnya, peniaga tidak bertanggungjawab tersebut yang patut dipersalahkan bukannya kerajaan kerana mereka tidak ada isi hati untuk memikirkan berkenaan kepentingan rakyat.

Tegasnya, tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang mengambil kesempatan itu akan dipergiatkan lagi.

“Kepada para pekedai ini, kita minta penguatkuasaan kita lebih tegas lagi, heret mereka ke mahkamah dan saman mereka… pengguna-pengguna tolong beritahu kita apa kesalahan mereka supaya kita boleh ambil tindakan.

“Percayalah, dasar kerajaan dan agenda ini ialah untuk rakyat, kalau ada permasalahan, sama-samalah kita betulkan,” ujar beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");